KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), peneraju sektor pengangkutan awam negara meraih pengiktirafan dalam Senarai Pilihan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG Select List) yang pertama, anjuran Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB).
Menerusi pengiktirafan itu, Prasarana diiktiraf sebagai 3-Star Lister bagi kecemerlangan dalam tiga kategori utama, iaitu ESG Trailblazer, Purposeful Partnership dan North Star ESG Target Setting, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap amalan kemampanan yang menyeluruh dan berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan, Idzqandar Abu Bakar berkata pengiktirafan itu mencerminkan pelaksanaan agenda kemampanan kumpulan yang konsisten selari dengan 'Sustainability Blueprint Prasarana', merangkumi aspek alam sekitar, keselamatan, sosial serta tadbir urus secara bersepadu.
Beliau berkata penilaian pengiktirafan itu berdasarkan usaha dan pencapaian beberapa inisiatif strategik yang telah dilaksanakan Prasarana, termasuk pelaksanaan Traction Energy Recovery System (TERS) bagi projek Laluan LRT Shah Alam yang dijangka beroperasi kelak, bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.
“Selain itu, komitmen berterusan terhadap keterangkuman Orang Kurang Upaya (OKU) dalam penyampaian perkhidmatan pengangkutan awam turut menjadi antara elemen penting yang dinilai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Idzqandar berkata Penubuhan Prasarana Vendor ESG Hub juga dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada pengiktirafan berkenaan.
Beliau berkata platform digital itu adalah antara inisiatif terawal dalam sektor pengangkutan awam yang dibangunkan khusus untuk kegunaan vendor dan pembekal Prasarana bagi menyediakan akses kepada pembelajaran kemampanan serta penilaian kendiri tahap kematangan, kesediaan dan risiko ESG.
“Sebagai pelengkap, Prasarana turut membimbing 30 vendor terpilih menerusi program latihan intensif selama tiga hari yang memfokuskan pembangunan pelan tindakan serta penetapan sasaran ESG mengikut keupayaan masing-masing.
“Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan ESG vendor, malah menyokong pengurusan dan penjejakan pelepasan Skop 3, sekali gus meningkatkan daya tahan rantaian bekalan secara menyeluruh,” katanya.
Idzqandar berkata Prasarana melihat pengiktirafan North Star ESG Target Setting sebagai bukti kepada penetapan hala tuju dan sasaran ESG yang kukuh, manakala pengiktirafan ESG Trailblazer dan Purposeful Partnership pula menonjolkan peranan syarikat dalam memacu kemampanan dan memperluas kerjasama strategik.
Pengiktirafan dalam ESG Select List UNGCMYB itu mengukuhkan kedudukan Prasarana sebagai sebuah organisasi yang berdaya tahan dan berpandangan jauh, dengan tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang kepada pelanggan, warga kerja, rakan strategik serta masyarakat secara keseluruhan.
-- BERNAMA
