KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) akan terus memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan siasatan masih dijalankan berhubung insiden letupan di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, sambil menekankan keselamatan serta kesejahteraan komuniti kampus kekal menjadi keutamaan.
Menurut kenyataan AmanahRaya REIT, sejak insiden Isnin lepas itu, pihaknya telah mengambil langkah proaktif termasuk memudahkan penilaian komprehensif terhadap kawasan terjejas dan struktur sekitarnya, melantik pasukan forensik bebas serta mengesahkan kerjasama penuh dengan pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan perkhidmatan kecemasan.
“AmanahRaya REIT mengambil perhatian dan selaras sepenuhnya dengan pendirian pihak berkuasa bahawa siasatan sedang dijalankan dan tiada kesimpulan yang dicapai pada peringkat ini.
“Dalam hal ini AmanahRaya REIT menyokong proses penyiasatan sehingga semua penemuan disahkan dan dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.
Sebagai pemilik hartanah, AmanahRaya REIT memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan universiti terlibat serta pengurus hartanah yang dilantik Knight Frank Malaysia Sdn Bhd, bagi melaksanakan pemeriksaan keselamatan, penilaian risiko dan langkah berjaga-jaga di premis terjejas.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada peranan berterusan AmanahRaya REIT dalam menyokong persekitaran kampus yang selamat dan terjamin, termasuk semakan serta pelaksanaan protokol penyelenggaraan dan keselamatan rutin sebagai amalan pengurusan aset berhemat.
AmanahRaya REIT turut menyatakan komitmennya untuk terus menyokong universiti dan komuniti kampus, sepanjang tempoh siasatan serta memaklumkan bahawa kemas kini lanjut akan diberikan apabila maklumat yang disahkan tersedia.
-- BERNAMA
