AM

MENTERI KABINET SERU UMMAH JADIKAN ISRAK MIKRAJ PELUANG PERKUKUH AKHLAK, PERPADUAN

17/01/2026 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Menteri Kabinet mengambil kesempatan melalui platform media sosial masing-masing untuk mengucapkan Salam Israk Mikraj 1447H kepada seluruh umat Islam, sambil menyeru agar peristiwa bersejarah itu dijadikan ruang bermuhasabah, memupuk disiplin dan memperkukuh perpaduan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menekankan kepentingan solat sebagai tiang agama dan penghubung antara hamba dengan Pencipta.

“Peristiwa Israk dan Mikraj mengajar kita bahawa solat ialah tiang agama serta penghubung antara hamba dengan Pencipta. Semoga kita terus istiqamah dalam beribadah. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Salam Israk & Mikraj,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata Israk Mikraj memberikan pengajaran tentang kesabaran, keimanan dan ketaatan mutlak kepada perintah Allah SWT, khususnya dalam menghadapi cabaran kehidupan.

“Melalui peristiwa Israk dan Mikraj, kewajipan solat lima waktu telah disyariatkan secara langsung oleh Allah Subhanahu wa-Ta'ala. Ini menegaskan kepentingan solat sebagai teras pembentukan sahsiah, disiplin diri dan kesejahteraan rohani umat Islam.

“(Peristiwa ini) juga membawa pengajaran tentang kesabaran, keimanan dan ketaatan mutlak kepada perintah Allah Subhanahu wa-Ta'ala, khususnya dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.

Israk Mikraj ialah peristiwa penting dalam sejarah Islam yang memperingati perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmuqaddis, sebelum Baginda diangkat ke Sidratul Muntaha. 

Peristiwa ini menjadi asas pensyariatan solat fardu lima waktu yang menjadi tunjang utama kehidupan umat Islam serta lambang ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap Israk Mikraj menjadi peringatan untuk umat Islam bermuhasabah, memperteguh keimanan serta memperindah akhlak dalam setiap langkah kehidupan.

Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata solat dalam dunia yang serba mencabar menjadi sumber kekuatan rohani yang menenangkan hati, membimbing tindakan serta mencerminkan keseimbangan antara tanggungjawab duniawi dengan ukhrawi.

“Solat bukan sahaja mendisiplinkan diri, malah mengukuhkan ukhuwah manusiawi membentuk akhlak serta membina peribadi. Semoga peristiwa Israk Mikraj menjadi ruang kita bermuhasabah diri, memperteguh iman, menyatukan hati serta mendorong kita untuk terus memikul amanah dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan