KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Pendaftaran sebahagian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 1/2026 di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW), Pekan, Pahang hari ini ditangguhkan susulan kehadiran pelatih melebihi kapasiti maksimum pusat latihan berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Ya’cob Samiran berkata keputusan itu bukanlah satu penolakan, sebaliknya langkah penyelarasan operasi bagi memastikan setiap pelatih mendapat pengalaman latihan yang terbaik dan kondusif.
Beliau berkata JLKN memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kekalutan yang timbul semasa proses pendaftaran hari ini serta berterima kasih di atas sokongan yang menggalakkan daripada ibu bapa dan penjaga.
“Kita tidak menyangka jumlah yang hadir hari ini melebihi daripada kapasiti yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, demi memastikan kualiti latihan, keselesaan penginapan serta aspek keselamatan pelatih terjaga, JLKN terpaksa mengambil keputusan berat untuk menangguhkan pendaftaran sebahagian pelatih.
“Kami memohon mereka untuk pulang ke kediaman masing-masing (Return to Unit) buat sementara waktu disebabkan kekangan kapasiti kem yang tidak mampu menampung lebihan ini. Pelatih yang dibenarkan pulang hari ini boleh membuat tuntutan perjalanan mengikut garis panduan dan peraturan sedia ada yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PLKN 3.0 Siri 1 2026 bermula hari ini hingga 3 Mac di dua kem AW, iaitu Rejimen 515 (AW) Kuala Lumpur dan Rejimen 505 (AW) Pekan, Pahang. Sebanyak empat siri latihan PLKN 3.0 dijadualkan sepanjang 2026.
Ya'cob berkata berdasarkan trend siri-siri sebelum ini, peratusan kehadiran yang tidak mencukupi atau no-show sering berlaku, justeru langkah “pengurusan ruang” atau overbooking telah diambil bagi memastikan setiap slot latihan diisi sepenuhnya demi manfaat anak bangsa.
Namun, beliau berkata kehadiran pada siri kali ini amat luar biasa dan di luar jangkaan, sekali gus membuktikan bahawa program PLKN 3.0 kini mendapat tempat yang cukup istimewa di hati masyarakat.
“Sebagai tanda tanggungjawab dan komitmen JLKN terhadap kebajikan para pelatih yang terkesan, (mereka) akan diberikan keutamaan penuh untuk kemasukan bagi pengambilan kedua yang akan datang tanpa perlu melalui proses pemilihan semula.
“JLKN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa bangga atas semangat luar biasa yang ditunjukkan para belia serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa sempena pendaftaran PLKN Siri 1/2026 yang berlangsung hari ini,” katanya.
-- BERNAMA
