KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Luar mengesahkan bahawa seorang rakyat Malaysia dilaporkan hilang di Jeddah sejak 15 Jan lepas.
Dalam satu kenyataan media pada Sabtu, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa sejak laporan diterima, Konsulat Jeneral telah segera melaksanakan tindakan penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan dan pihak berkaitan, termasuk menggerakkan pegawainya ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz bagi menjalankan usaha pencarian berdasarkan lokasi terakhir individu itu dikesan.
Menurut Wisma Putra, pada 16 Jan, Konsulat Jeneral telah memudah cara agensi pelancongan Malaysia yang berkaitan dan rakan kongsi tempatannya di Jeddah untuk membuat laporan polis rasmi selaras dengan keperluan peraturan Arab Saudi.
“Sehingga hari ini (Sabtu), Konsulat Jeneral terus berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi menyegerakan usaha pencarian selain memberikan bantuan konsular kepada waris, serta sentiasa berhubung rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.
Kementerian itu berkata mana-mana rakyat Malaysia yang ingin memberikan maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah di talian +966-12-6727740 atau +966-12-6728019 atau +966-12-6760877 atau melalui e-mel mwjeddah@kln.gov.my.
Wisma Putra menegaskan bahawa butiran terperinci dan perkembangan berkaitan kes itu hanya akan dikongsi kepada ahli keluarga terdekat demi menghormati privasi pihak-pihak yang terlibat.
Seorang pelakon Malaysia, Nadia Kesuma, yang nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, dilaporkan hilang dan tidak dapat dikesan ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke London pada Khamis.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan kepada media bahawa pihak Imigresen Arab Saudi mengesahkan pelakon berkenaan telah meninggalkan kawasan lapangan terbang dan beliau diklasifikasikan sebagai orang hilang selepas gagal dikesan lebih 20 jam.
-- BERNAMA
