KUCHING, 18 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera parah di kepala selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam parit di Batu 8, Jalan Kuching–Serian, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Supt Damataries Lautin berkata kejadian kira-kira 11.30 malam itu menyebabkan Bong Biing Wen, 51, yang memandu kereta jenis Honda Civic berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kuching ke Batu 17, Jalan Kuching–Serian.
“Setibanya di lokasi kejadian, ketika kenderaan bergerak lurus, pemandu (Bong) dipercayai hilang kawalan sebelum kereta itu terbabas dan terjunam ke dalam parit di sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut manakala mangsa berusia 23 tahun yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama.
Kemalangan itu, katanya sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kota Sentosa digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.42 malam.
Kedua-dua mangsa didapati tercampak keluar dari kenderaan dan operasi menyelamat dilakukan menggunakan pengusung bagi membawa mangsa naik ke tebing jalan.
-- BERNAMA
