KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Parti Progresif Penduduk (PPP) akan merangka hala tuju baharu di bawah tema “Senada Sejiwa”, memberi tumpuan kepada memperkukuh Barisan Nasional (BN) dengan mengangkat isu-isu rakyat ke peringkat tertinggi, kata Presidennya Datuk Dr Loga Bala Mohan.
Mengalu-alukan pengiktirafan PPP sebagai parti komponen BN hari ini, beliau berkata pendekatan berkenaan mencerminkan komitmen parti untuk menyumbang secara lebih berkesan kepada gabungan itu dengan memperkasakan suara rakyat serta menonjolkan isu-isu yang memberi kesan kepada masyarakat.
“Di bawah tema ‘Senada Sejiwa’, PPP berhasrat untuk memberi lebih ruang kepada suara rakyat serta menambah nilai kepada BN dengan mengetengahkan isu-isu akar umbi secara lebih tersusun dan inklusif,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Loga Bala berkata PPP telah menjadi komponen BN sejak 1974, sambil menambah bahawa perkembangan hari ini merupakan satu pengesahan terhadap kedudukan terdahulu parti itu dalam gabungan berkenaan dan bukannya kemasukan semula.
Terdahulu, Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan PPP ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini, mengumumkan PPP kini telah diiktiraf secara rasmi sebagai parti komponen BN.
Bercakap dalam kapasitinya sebagai Pengerusi BN, Ahmad Zahid berkata majlis pengiktirafan rasmi itu akan diadakan semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kota Kinabalu pada 21 Jan.
Kemudian, semasa sidang media, Ahmad Zahid berkata PPP akan menjadi parti komponen penuh BN, sambil menambah bahawa gabungan itu kini merangkumi lima parti komponen, iaitu UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PPP.
Ditubuhkan pada 1953, PPP kemudiannya berdepan krisis kepimpinan yang berpanjangan sehingga membawa kepada pembatalan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 14 Jan 2019, susulan pertikaian antara mendiang Datuk Seri Maglin Dennis D’Cruz dan Tan Sri M Kayveas.
Krisis selama lima tahun itu berakhir pada 11 April 2023 apabila Kementerian Dalam Negeri meluluskan rayuan parti itu terhadap pembatalan pendaftaran tersebut dan mengiktiraf legitimasi Majlis Tertingginya.
Loga Bala berkata PPP kemudiannya menerima pengesahan rasmi daripada ROS pada 3 Nov 2025 yang mengesahkan bahawa parti itu terus kekal sebagai parti komponen BN dan tidak pernah menarik diri daripada gabungan tersebut.
Parti itu kini mempunyai kira-kira 320,000 ahli di seluruh negara, dengan 119 bahagian dan 3,119 cawangan.
-- BERNAMA
