JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS JURUTERA CUBA GUNA WANG PALSU TUKAR PENGAKUAN KEPADA TIDAK BERSALAH

19/01/2026 01:51 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Jan (Bernama) -- Seorang bekas jurutera menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di sini bulan lepas.

Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, menukar pengakuannya itu ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Sepatutnya prosiding hari ini ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan itu pada 5 Jan.

Ahmad Faisal didakwa cuba menggunakan mata wang palsu sebagai tulen, iaitu 359 keping wang kertas RM50 di sebuah kedai emas di Chabang Tiga dekat sini pada 3.10 petang, 18 Dis.

Pertuduhan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ahmad Faisal diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan selain menetapkan 22 Feb untuk sebutan semula kes.

Prosiding itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad manakala lelaki itu diwakili peguam Mohd Hisham Hashim.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan