AM

TITAH DIRAJA JADI PANDUAN PASTIKAN RASUAH, SALAH GUNA KUASA TIDAK BERULANG - MINDEF

19/01/2026 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menjadikan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai pegangan utama bagi memastikan insiden salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berulang.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peringatan tegas Seri Paduka Baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 itu diambil serius bagi menjamin integriti pasukan keselamatan negara sentiasa terpelihara, sekali gus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.

“Kita (MINDEF) menjunjung kasih akan titah serta peringatan tersebut. Kita akan pastikan ia menjadi pegangan agar apa yang kita lalui (isu penyelewengan) pada tahun lepas dan sebelum-sebelum ini tidak berlaku lagi.

“Sebab itu dalam amanat tahun baharu, saya telah gariskan lapan pandangan dan pendekatan tindakan bagi memastikan ketirisan serta salah guna kuasa dapat dihindari sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah SASaR Residensi Sateria Sungai Besi di sini hari ini.

Sultan Ibrahim dalam titah Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa susulan kes rasuah yang berlaku dalam ATM hingga ke peringkat tertinggi.

Pada Khamis lepas, media melaporkan sebanyak 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Penahanan itu berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam.

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan