EKONOMI

IJM SAHKAN KEHADIRAN SPRM DAN LHDN DI PEJABATNYA DAN BERKATA OPERASI BERJALAN SEPERTI BIASA

19/01/2026 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- IJM Corporation Bhd (IJM) telah mengesahkan bahawa pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah hadir di pejabat syarikat itu hari ini untuk mendapatkan maklumat sebagai sebahagian daripada proses dijalankan mereka.

Syarikat pembinaan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

“IJM komited untuk mendukung piawaian tadbir urus korporat, ketelusan dan integriti yang kukuh.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa operasi perniagaan IJM berjalan seperti biasa. Syarikat akan terus memantau perkembangan dalam perkara ini dan akan membuat pendedahan apabila tiba masanya sekiranya terdapat sebarang kemas kini penting,” katanya.

Awal hari ini, dilaporkan bahawa SPRM kini sedang menumpukan siasatannya terhadap dakwaan melibatkan IJM berkaitan skim pengubahan wang haram yang didakwa bernilai RM2.5 bilion.

Laporan itu, memetik sumber dalaman berkata ahli pengurusan kanan syarikat itu bergelar Tan Sri serta penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai orang paling penting bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan