KOTA BHARU, 19 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 15 pendatang tanpa izin warga Myanmar dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Pasir Mas Salor, Kampung Kota di sini awal pagi tadi.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata tangkapan itu dibuat pada 4 pagi oleh sepasukan anggota Batalion 7 PGA menerusi OPS Taring Wawasan Kelantan.
Beliau berkata bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis menyerbu sebuah rumah di Lot 2712-A, Jalan Pasir Mas Salor sebelum menahan 13 lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 37 tahun.
“Kesemua pendatang itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan kesemua tangkapan telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata Briged Tenggara PGA secara khususnya terus melaksanakan pelbagai pendekatan dan tindakan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan serta penyeludupan pendatang tanpa izin di sempadan Malaysia-Thailand.
-- BERNAMA
