KINABATANGAN, 20 Jan (Bernama) -- Satu pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan dibuka pada 8 pagi ini.
Proses pengundian awal itu melibatkan seramai 196 anggota polis yang menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Pusat pengundian awal berkenaan dijadualkan ditutup pada 5 petang nanti.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN) Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala di PRK DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
Parlimen Kinabatangan mempunyai sebanyak 48,722 pengundi berdaftar manakala DUN Lamag mempunyai 13,899 pengundi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan pada Sabtu ini.
-- BERNAMA
