AM

MALAYSIA AMBIL PENDIRIAN TEGAS ISU VENEZUELA, TOLAK PENAKLUKAN GREENLAND - PM

20/01/2026 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Malaysia mengambil pendirian paling tegas dalam isu Venezuela atas dasar mempertahankan prinsip undang-undang antarabangsa selain menolak sebarang cubaan menakluki Greenland yang bercanggah dengan kedaulatan negara berdaulat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun memiliki kekuatan yang sederhana, Malaysia merupakan antara negara yang mengambil pendirian paling jelas dan tegas dalam isu Venezuela.

“Sebab itu dalam apa-apa tindakan seperti ini, kita ambil kira rundingan dengan teman-teman, negara-negara jiran dan juga negara-negara sahabat. 

“Sebagai seorang yang diamanahkan, tentunya saya pun ada kebimbangannya… bukan soal kebimbangan peribadi tetapi kebimbangan kepada negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung pendirian Malaysia terhadap isu melibatkan Venezuela, Greenland dan hubungan dengan Iran susulan langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25 peratus kepada negara yang menjalin hubungan dengan Iran.

Perdana Menteri juga berkata Malaysia tetap mengekalkan jalur hubungan dengan AS walaupun sering dipertikai oleh pelbagai pihak kerana negara tetap menyuarakan pandangan jika terdapat tindakan yang melanggar prinsip undang-undang.

“Malaysia tidak bersetuju (dengan tindakan AS) kerana melanggar prinsip undang-undang antarabangsa, dan mendesak AS supaya membawa balik Presiden Maduro dan isterinya ke Venezuela... itu kenyataan kita yang agak jelas dan tegas,” katanya.

Berhubung isu Greenland, Anwar berkata Malaysia menolak sebarang usaha menakluki mana-mana negara selain bersetuju dengan pendirian Eropah dan Denmark bahawa rundingan perlu diutamakan dalam menyelesaikan sebarang pertikaian.

“… untuk menakluki mana-mana negara, sebagai negara yang bebas dan berdaulat, kita tidak mungkin bersetuju. Jadi itu juga pendirian kita,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia masih mengekalkan hubungan diplomatik dengan Iran dan perlu menggunakan kebijaksanaan dalam menguruskan hubungan tersebut.

“Sekarang hubungan kita masih kekal dengan Iran... jangan kita nampak terlalu lemah tetapi jangan juga kita mengambil tindakan yang menjejaskan kepentingan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan