KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri bagi menampung peningkatan penumpang yang mendadak, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata tiket bagi Tahun Baharu Cina hampir habis terjual dan perkhidmatan ETS tambahan akan beroperasi dari 13 hingga 22 Feb ini melibatkan laluan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral, KL Sentral-Ipoh-KL Sentral, KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral serta JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral dengan dua perjalanan sehari bagi setiap laluan.
“Sebanyak 26,460 tiket ditawarkan bagi tempoh ini, menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS sempena Tahun Baharu Cina mencecah maksimum 52 trip sehari. Jualan tiket (perkhidmatan ETS tambahan) akan bermula pada 29 Jan,” katanya pada sidang media perkhidmatan KTM Komuter sempena Thaipusam 2026 di KL Sentral di sini hari ini.
Sementara itu, bagi Aidilfitri, Loke berkata setakat ini 44 peratus tiket ETS telah terjual dan dijangka habis sekitar Februari.
Berikutan itu, KTMB akan menambah lapan perkhidmatan ETS dari 13 hingga 29 Mac melibatkan laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral, KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral, KL Sentral-Ipoh-KL Sentral dan KL Sentral–Butterworth-KL Sentral dengan dua perjalanan sehari bagi setiap laluan.
“Sebanyak 36,540 tiket ditawarkan bagi tempoh ini dan mula dijual pada 1 Mac. Ini menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang akan beroperasi sempena Aidilfitri adalah sebanyak maksimum 52 trip sehari,” katanya.
-- BERNAMA
