AM

JELAJAH HAWANA 2026 BERSAMA SISWA BAKAL TAMPIL TOPIK AI - KPE BERNAMA

20/01/2026 02:17 PM

JOHOR BAHRU, 20 Jan (Bernama) -- Jelajah HAWANA 2026 Bersama Siswa akan menampilkan perkongsian mengenai kecerdasan buatan (AI) sebagai antara pengisian utama program itu bagi membimbing golongan penuntut memahami teknologi digital dan tanggungjawab mereka ketika menggunakan Internet.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata topik itu akan digabung dengan tajuk lain seperti literasi media, asas kewartawanan dan Kempen Internet Selamat supaya golongan penuntut cakna dengan perkara asas berkaitan teknologi digital termasuk peraturan serta undang-undang yang berkaitan.

“Perkongsian tentang AI akan diadakan sebab itu adalah perkara yang sedang diperkatakan oleh semua orang ketika ini... insya-Allah, kita akan aturkan dalam program kita nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini hari ini.

Terdahulu, Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 dalam ucapannya berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi, Bernama berperanan membawa kesedaran mengenai dasar, inisiatif dan peraturan digital sedia ada supaya golongan mahasiswa memahami tanggungjawab mereka sebagai pengguna media sosial yang beretika.

Beliau berkata perkongsian AI dan asas kewartawanan itu akan membantu mahasiswa menapis maklumat, mengamalkan komunikasi digital secara bertanggungjawab dan menyokong pembentukan masyarakat celik media yang berintegriti.

“Mahasiswa perlu membentuk jati diri dengan asas ini sejak di bangku pengajian agar dapat menjadi benteng kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, serta mengelak daripada terjerumus dalam perkara yang tidak bermanfaat,” katanya.

Nur-ul Afida berkata Jelajah HAWANA 2026 Bersama Siswa akan diteruskan di seluruh negara selaras dengan harapan Bernama untuk membantu membentuk generasi celik media yang beretika dan mampu berdepan cabaran era digital.

Turut hadir Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Azirin Abdul Aziz dan Ketua Pengarang Bernama merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Arul Rajoo Durar Raj. 

Hadir sama Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak dan Timbalan Pengarah Akademik PIS yang menjalankan tugas Pengarah Tengku Nadzion Tengku Ibrahim.

Program sehari itu, yang disertai 585 penuntut dan pensyarah, diadakan dengan kerjasama PIS serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai rakan strategik. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan