Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 20 Jan (Bernama) -- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mengumumkan pelantikan dua anggota lembaga baharu serta pelantikan semula empat anggota sedia ada bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa mulai 15 Jan, 2026 hingga 14 Jan, 2028.
Dalam kenyataan kepada Bernama pada Selasa, Labuan FSA memaklumkan Datuk Zain Azhari Mazlan dan Mohamad Ali Iqbal Abdul Khalid dilantik sebagai anggota baharu.
Pelantikan itu merupakan tambahan kepada pelantikan semula Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Datuk Hisham Rusli, Steven Choy Khai Choon dan Dr Aida Othman bagi tempoh dua tahun lagi.
Pelantikan tersebut dibuat oleh Menteri Kewangan II, menurut kenyataan itu.
Zain Azhari ialah Pengarah Eksekutif Kewangan Korporat dan Pelaburan di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang bertanggungjawab terhadap perkara berkaitan penerbitan dan pelaburan, termasuk terbitan sekuriti, aktiviti pengambilalihan dan penggabungan, skim pelaburan kolektif serta pendaftaran prospektus.
Mohamad Ali Iqbal pula ialah Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia yang menyelia jabatan pelaburan, operasi dan pembangunan pasaran, risiko dan infrastruktur perbendaharaan serta dasar pertukaran asing.
Pengerusi Labuan FSA, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran anggota baharu yang akan melengkapkan keanggotaan sedia ada melalui pelbagai kepakaran serta pengalaman kepimpinan yang dmiliki mereka.
Beliau berkata kehadiran mereka akan membawa perspektif baharu kepada pembangunan dan kemajuan berterusan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan.
Lembaga Labuan FSA kini terdiri daripada Ahmad Hizzad sebagai Pengerusi, Affendi Rashdi sebagai Ketua Pengarah Labuan FSA, Choy, Nor Azimah, Aida, Hisham, Datuk John Patrick Antonysamy, Zain Azhari dan Mohamad Ali Iqbal.
Labuan FSA turut merakamkan penghargaan kepada anggota yang tamat tempoh perkhidmatan iaitu Aznan Abdul Aziz dan Salmah Bee Mohd Mydin, atas sumbangan berharga mereka sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing.
-- BERNAMA
