KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggariskan empat teras utama bagi memperkukuh daya saing perniagaan tempatan sebagai hala tuju kementerian bagi 2026 dan tahun seterusnya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata empat teras berkenaan membentuk strategi yang dipanggil “ABCD” iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
“Jadi saya minta supaya seluruh warga KUSKOP, sama ada di kementerian atau pun agensi untuk menumpukan misi kita memperhebat perniagaan Malaysia melalui strategi ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata komponen A strategi itu memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melalui pembangunan kemahiran pekerja dan keperluan tenaga buruh serta penggunaan teknologi seperti automasi dan pendigitalan.
Bagi komponen B, Sim berkata kementerian akan mempergiat usaha mengurangkan beban birokrasi yang menjadi penghalang kepada pertumbuhan perniagaan dengan mempermudah prosedur, mempercepat kelulusan dan memperluas penggunaan sistem dalam talian.
Sim berkata akses kepada modal pula menjadi fokus komponen C, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang mencabar bagi memastikan syarikat tempatan mampu merebut peluang pelaburan dan permintaan antarabangsa.
“Kita nak pastikan ada capaian kepada modal yang lebih luas supaya perniagaan Malaysia meraih manfaat daripada keadaan saingan geopolitik dan ekonomi dunia ini,” katanya.
Beliau berkata komponen D iaitu daya akses kepada pasaran, amat penting bagi memastikan produktiviti, pengurangan birokrasi dan sokongan kewangan diterjemahkan kepada pertumbuhan sebenar.
“Kita nak pastikan supaya jangan semua dibolot oleh syarikat-syarikat besar sahaja… syarikat PMKS juga harus diberi peluang, produk-produk lokal kita, syarikat Malaysia kita harus juga mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Menurut Sim, suntikan dana kerajaan berjumlah hampir RM34 bilion menerusi kenaikan gaji penjawat awam, Bantuan Awal Persekolahan serta program Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah membuka peluang besar kepada perniagaan tempatan untuk berkembang.
Beliau berkata KUSKOP juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan dan kementerian lain bagi memastikan kos pembiayaan lebih rendah dan akses kredit dipermudah, di samping menggalakkan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor korporat memberi keutamaan kepada produk tempatan dalam perolehan.
Sim berkata pelaksanaan strategi ABCD secara konsisten diyakini mampu mencetuskan perubahan besar dalam landskap perniagaan negara.
-- BERNAMA
