KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Penerbitan bon korporat Malaysia diunjurkan mencecah antara RM130 bilion dan RM140 bilion pada 2026, kekal melebihi purata dalam sejarah RM122 bilion, kata RAM Ratings.
Unjuran itu dibuat selepas mencatatkan rekod tertinggi pada 2025, apabila penerbitan bon korporat kasar melonjak kepada RM174.4 bilion daripada RM124.2 bilion pada 2024, didorong sebahagian besarnya oleh sektor kewangan dan hartanah
Agensi penarafan kredit itu dalam satu kenyataan hari ini berkata prospek 2026 disokong oleh rancangan pengumpulan modal institusi kewangan, aktiviti pembiayaan semula berterusan disebabkan oleh kadar faedah yang menggalakkan, keperluan pembiayaan infrastruktur dan momentum pasaran yang positif dari 2025.
“Terbitan kasar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) menurun kepada RM168.5 bilion pada 2025 daripada RM176.7 bilion tahun sebelumnya.
“Tetapi ia diunjurkan meningkat kepada antara RM175.0 bilion dan RM185.0 bilion pada 2026 disebabkan oleh keperluan pembiayaan semula yang lebih tinggi untuk hutang matang.
“Bagaimanapun, bekalan bersih pada 2026 dijangka lebih rendah, mencerminkan keperluan pembiayaan defisit kerajaan yang lebih rendah,” RAM Ratings.
Menurut agensi itu, permintaan pelabur asing terhadap bon Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2026, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang berdaya tahan dan jangkaan pelonggaran monetari global.
“Pemasangan dan kadar pelarasan dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan terus memacu aliran dana global
“Memandangkan tanda-tanda kelembapan ekonomi yang semakin meningkat di AS, kami menjangkakan Fed akan mengurangkan kadar faedah secara kumulatif sekurang-kurangnya 50 mata asas menjelang akhir tahun,” katanya.
RAM Ratings menambah bahawa dengan kadar dasar semalaman dijangka kekal tidak berubah pada 2.75 peratus tahun ini, penurunan kadar Fed akan meningkatkan lagi daya tarikan bon Malaysia.
-- BERNAMA
