DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA RENDAH, DIPENGARUHI KETEGANGAN GEOPOLITIK

21/01/2026 11:11 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu, menjejaki prestasi lemah semalaman di Wall Street, susulan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat berkenaan dengan pengambilalihan Greenland yang menjejaskan sentimen pelabur.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.84 mata atau 0.23 peratus kepada 1,695.22 daripada daripada 1,699.06 ketika ditutup semalam.

Penanda aras itu dibuka 4.25 mata lebih rendah kepada 1,694.81.

Lingkungan pasaran adalah suram, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 181 berbanding 106 manakala 295 kaunter tidak berubah, 2,102 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 85.81 juta saham bernilai RM51.99 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menjelaskan Wall Street merosot apabila dana asing mengambil langkah “Jual Amerika” selepas bekas penasihat Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengancam untuk mengenakan lebih banyak tarif terhadap pihak yang menentang inisiatif Greenlandnya.

“Hasil bon Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun meningkat sedikit kepada 4.295 peratus susulan penjualan pesat bon Perbendaharaan AS,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di peringkat domestik, Rakuten Trade memaklumkan FBM KLCI mencatatkan paras terendah dalam tujuh hari semalam berikutan prestasi lemah serantau yang disebabkan ketegangan berkaitan Greenland.

“Kami melihat keadaan ini sebagai peluang pembelian pada harga murah bagi dana asing dan menjangkakan indeks itu berada dalam lingkungan 1,700 hingga 1,715 hari ini,” tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking naik empat sen kepada RM11.10, manakala Public Bank turun dua sen kepada RM4.70, CIMB susut empat sen kepada RM8.13, Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM13.74 dan IHH merosot lapan sen kepada RM8.33.

Antara saham aktif, SBS Nexus meningkat satu sen kepada 25 sen, manakala VS Industry, Zetrix Ai, Dagang Nexchange dan Netgreen masing-masing tidak berubah pada 46 sen, 80.5 sen, 32 sen dan 79 sen.

Saham paling untung, Fraser & Neave naik lapan sen kepada RM35.80, Tradeplus menokok tujuh sen kepada RM5.95, K. Seng Seng Corp menambah 6.5 sen kepada 98 sen, Frontken naik enam sen kepada RM4.16 dan Golden Land meningkat 5.5 sen kepada 32.5 sen.

Saham paling rugi, Hong Leong Bank merosot 18 sen kepada RM23.68, Malaysian Pacific dan KL Kepong masing-masing susut 16 sen kepada RM33.40 dan RM20.40, Petronas Dagangan turun 14 sen kepada RM20.74 serta Theta Edge kurang 11 sen kepada 66 sen.

Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas susut 25.04 mata kepada 12,490.16, Indeks FBM Top 100 turun 24.47 mata kepada 12,288.07, Indeks FBM Emas Shariah kurang 28.68 mata kepada 12,164.03, Indeks FBM Mid 70 menguncup 19.55 mata kepada 17,378.28, manakala Indeks FBM ACE meningkat 4.41 mata kepada 4,885.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 31.62 mata kepada 20,412.93, Indeks Tenaga turun 1.91 mata kepada 768.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.15 mata kepada 173.13, manakala Indeks Perladangan naik 3.14 mata kepada 8,334.23.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan