JENAYAH & MAHKAMAH

TERJEMAHAN SILAP TITAH AGONG: POLIS RAKAM PERCAKAPAN DUA PEGAWAI KANAN CHINA PRESS

21/01/2026 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sudah merakam percakapan dua pegawai kanan China Press bagi membantu siasatan berhubung hantaran Facebook yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M Kumar berkata Ketua Editor dan Sub-Editor syarikat akhbar itu hadir bagi proses rakaman percakapan kira-kira 1 tengah hari tadi.

"Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan selepas pihak polis mengesan satu hantaran melalui akaun Facebook rasmi media berkenaan pada 19 Jan lepas yang memaparkan penterjemahan silap titah ucapan Seri Paduka Baginda semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, dua hari lepas.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan melibatkan kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam yang jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula menyentuh mengenai penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan