JOHOR BAHRU, 21 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bersifat reformasi yang berpotensi memperkukuh sistem pendidikan negara secara menyeluruh.
Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah berkata pelaksanaan RPN itu reformasi pendidikan jangka panjang dari pendidikan awal hingga peringkat universiti.
Beliau berkata RPN juga merupakan kesinambungan kepada pelan terdahulu yang menjadi kerangka hala tuju pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.
“Sebelum ini, kita pernah melaksanakan kelas lompat dari tahun tiga terus ke tahun lima, tetapi kali ini prasekolah ke tahun satu pula. Jadi cabarannya ialah aspek pelaksanaan daripada guru selain pemantauan serta penilaian berterusan oleh pihak terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Abdul Halim berkata sistem pendidikan juga dilihat lebih tersusun apabila Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti iaitu tingkatan enam dan matrikulasi, walaupun beliau berpandangan mungkin sedikit mencabar pada peringkat awal peralihan.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tasek Utara di sini Nazree Daud, 42, optimis dengan pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu pada 2027 yang dilihat sesuai kepada murid yang boleh menguasai pembelajaran dengan cepat.
“Pelaksanaan mungkin sesuai kepada kanak-kanak yang sudah boleh menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) selain mereka perlu lulus ujian diagnostik ditetapkan.
“Bagaimanapun ibu bapa yang belum bersedia atau enggan tergesa-gesa memasukkan anak ke tahun satu tidak perlu bimbang kerana mereka masih mempunyai pilihan memandangkan ia bukan diwajibkan,” katanya.
-- BERNAMA
