EKONOMI

PERDAGANGAN MALAYSIA-ASEAN NAIK 1.7 PERATUS KEPADA RM709.08 BILION UNTUK JAN-NOV 2025 - MITI

21/01/2026 09:52 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) — Perdagangan Malaysia dengan ASEAN mencatatkan peningkatan 1.7 peratus kepada RM709.08 bilion untuk tempoh Januari hingga November 2025, mewakili 25.6 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.775 trilion bagi tempoh yang sama pada 2024.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata eksport meningkat 4.8 peratus kepada RM418.78 bilion selepas disokong oleh lonjakan permintaan untuk barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik.

“Manakala import menyusut 2.6 peratus kepada RM290.30 bilion, berikutan penurunan ketara dalam permintaan domestik terhadap keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, serta kelengkapan pengangkutan. 

“Penurunan ini turut dipengaruhi oleh kejatuhan harga pasaran petroleum, yang mana harga minyak mentah menurun daripada sekitar US$80 setong pada 2024 kepada US$60 setong pada 2025,” kata MITI dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di lawan rasmi Parlimen hari ini. 

Kementerian itu berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Kok Wa (PH-Cheras) mengenai perbandingan perdagangan Malaysia dengan rakan ASEAN dan bukan ASEAN termasuk langkah-langkah yang diambil untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN. 

Bagi 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan ASEAN menokok sebanyak 6.1 peratus berbanding 2023, mencecah RM765.03 bilion, merangkumi 29 peratus daripada keseluruhan perdagangan Malaysia yang berada pada paras RM2.879 trilion. 

Dalam tempoh yang sama, nilai eksport Malaysia ke ASEAN melonjak 4.1 peratus kepada RM438 bilion, manakala import dari ASEAN turut naik 8.9 peratus kepada RM327.12 bilion.

Tiga destinasi eksport dan import utama Malaysia dalam ASEAN adalah Singapura, Thailand dan Indonesia. 

— BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan