AM

PAC PARLIMEN ANJUR PERSIDANGAN PERTAMA PAC SE-MALAYSIA 

21/01/2026 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia akan menganjurkan Persidangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara Parlimen bersama Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan Negeri Se-Malaysia 2026 bermula esok hingga 24 Jan di sini.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata persidangan itu antara lain bertujuan meningkatkan imej PAC sebagai badan semak dan imbang terhadap fungsi eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata persidangan berkenaan turut bertujuan memahami kaedah pelaksanaan sistem PAC di Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara, selain menyediakan penanda aras bagi pelaksanaan prosiding dan mesyuarat PAC yang lebih seragam di peringkat Parlimen dan negeri.

“Persidangan ini juga memberi tumpuan kepada pemantapan tadbir urus dalam pelaksanaan prosiding, mesyuarat serta pelaporan PAC melalui perkongsian idea baharu, di samping memahami cabaran masa depan bagi menentukan strategi pelaksanaan PAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dijadual merasmikan persidangan itu pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, persidangan berkenaan akan menghimpunkan semua ahli PAC Parlimen dan kerajaan negeri, melibatkan penyertaan kira-kira 140 orang termasuk “ex-officio” Parlimen Malaysia, pegawai kerajaan negeri serta Setiausaha Dewan Negeri masing-masing.

Antara pengisian utama persidangan ialah perbincangan mengenai cabaran dan hala tuju PAC Negeri, sesi dialog bertemakan pemerkasaan akauntabiliti awam bersama panel pakar dalam bidang audit, tadbir urus dan pencegahan jenayah kewangan, selain sesi rumusan dan penutup yang merangkumi resolusi persidangan serta penetapan hos PAC Se-Malaysia bagi 2028.

PAC menjangkakan persidangan itu akan menghasilkan resolusi dan cadangan yang praktikal, menyelaras pendekatan pemantauan kewangan antara Persekutuan dan negeri serta memperkukuh keberkesanan peranan PAC di semua peringkat pentadbiran.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan