AM

JURANG GRED PURATA BANDAR- LUAR BANDAR MASIH WUJUD WALAUPUN PRESTASI SPM MENINGKAT - WONG

22/01/2026 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Jurang Gred Purata Kebangsaan (GPK) antara calon bandar dan luar bandar masih wujud walaupun keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan peningkatan berterusan bagi kedua-dua kumpulan berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pada 2022 calon bandar mencatatkan GPK 4.73 manakala calon luar bandar GPK 5.16 dengan jurang 0.43 mata, pada 2023 calon bandar (4.58) dan calon luar bandar (5.01) dengan jurang 0.43, manakala pada 2024 calon bandar (4.47) dan calon luar bandar (4.92) dengan jurang 0.45.

“Dari segi impak terhadap pencapaian murid, laporan analisis keputusan peperiksaan SPM bagi gred purata mengikut lokasi menunjukkan peningkatan berterusan bagi kedua-dua calon bandar dan luar bandar.

“Pendekatan bersepadu dan usaha yang diambil membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meningkatkan kompetensi guru tanpa mengira lokaliti sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai perancangan KPM dalam memperkasa program latihan guru berfokus di kawasan pedalaman bagi merapatkan lagi jurang GPK sebanyak 0.45 mata antara bandar dan luar bandar demi menjamin ekuiti pendidikan serta standard pengajaran yang setaraf dengan sekolah berprestasi tinggi.

Mengulas lanjut, Wong berkata pada tahun lepas KPM telah melaksanakan 587 program latihan guru melibatkan 68,126 guru di kawasan bandar dan luar bandar.

“Pelaksanaan latihan ini memberikan tumpuan kepada pengukuhan pedagogi berimpak tinggi, penguasaan kandungan mata pelajaran, amalan PdP (pengajaran dan pembelajaran) berkesan serta bimbingan profesional berterusan yang disesuaikan dengan konteks sekolah luar bandar,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, KPM akan meneruskan pelaksanaan latihan guru dengan peruntukan yang telah disediakan dan diselaras secara lebih berstruktur berasaskan keperluan sebenar sekolah melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, melibatkan seramai 23,000 guru di kawasan luar bandar.

“Peruntukan digunakan bagi empat bidang kelas iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pemerkasaan Bahasa Melayu dan pengukuhan Bahasa Inggeris (MBMMBI), intervensi kurikulum dan juga prasekolah setelah kesediaan guru dalam pelaksanaan kurikulum persekolahan 2027,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai penempatan dan insentif guru di kawasan pedalaman, Wong berkata penempatan dan pemindahan guru tertakluk kepada keperluan sekolah serta permohonan melalui sistem eGTukar.

“Sekolah pedalaman dibahagi kepada pedalaman satu, dua dan tiga, dengan guru yang berkhidmat di ketiga-tiga kategori ini akan mendapat elaun tambahan setiap bulan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan