AM

RPTM 2026-2035 PERANCANGAN MENYELURUH, PERKUKUH PENDIDIKAN BERKUALITI - UKM

22/01/2026 06:18 PM

BANGI, 22 Jan (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang antara lain meletakkan Program Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dilihat sebagai perancangan menyeluruh dalam memperkukuh sistem pendidikan berkualiti dan mampu berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata RPTM 2026-2035 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan satu inisiatif yang ditunggu-tunggu kerana ia merupakan suatu langkah berwawasan yang merentasi masa depan dan berupaya menangkis cabaran mendatang.

“Antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri ialah Program Tingkatan Enam dan Matrikulasi diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). UKM menyambut baik rancangan ini, kerana kita sudah pun membuat pengambilan sulung pelajar Tingkatan Enam tahun lepas.

“UKM selaku institusi yang menggalas peranan program rintis ini, sangat komited memperluas akses kepada pendidikan berkualiti tinggi bagi pelajar Tingkatan Enam dengan menyediakan peluang pembelajaran yang lebih menyeluruh dan berimpak melalui persekitaran universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sufian berkata UKM menaruh keyakinan penuh terhadap kerajaan dalam memacu hala tuju pendidikan tinggi negara dan pihaknya akan memastikan pelajar Tingkatan Enam diberi ruang yang luas untuk membina potensi sebenar mereka.

“Hal ini seterusnya menjadikan mereka calon pelajar universiti yang matang, berwibawa dan mempunyai kejelasan hala tuju kerjaya.

Sufian berkata inspirasi di sebalik program berkenaan ialah menyediakan laluan akademik yang inklusif namun mencabar, yang tidak sekadar menilai keupayaan pelajar melalui peperiksaan tetapi juga melalui penglibatan dalam penyelidikan, inovasi dan tanggungjawab sosial.

“Saya yakin dengan usaha kolaboratif seperti ini, kita mampu melahirkan generasi pelajar Tingkatan Enam dan Matrikulasi yang bukan sahaja bersedia menempuh alam universiti, tetapi juga bersedia untuk menjadi penyumbang kepada tamadun Malaysia yang berilmu, berdaya saing dan beretika,” katanya.

RPTM 2026-2035 yang dilancarkan Anwar pada 20 Jan, menggariskan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan bagi melahirkan insan berilmu, beretika serta berdaya saing pada peringkat global.

Menurut ringkasan eksekutif RPTM Kementerian Pendidikan Tinggi, pendidikan tinggi perlu berfungsi bukan sahaja sebagai pemacu ekonomi, tetapi juga membentuk insan dan masyarakat yang bertanggungjawab terhadap negara.

“RPTM 2026-2035 akan berlandaskan empat nilai teras yang digariskan dalam Kerangka Pendidikan Tinggi: berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan,” menurut dokumen itu.

Ringkasan berkenaan menjelaskan bahawa pendekatan berpaksikan kemanusiaan menuntut integrasi ilmu, adab dan nilai secara seimbang, dengan penekanan terhadap kesejahteraan manusia, pemeliharaan alam sekitar serta usaha ke arah kemakmuran bersama.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan