PENAMPANG, 23 Jan (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan penuh dan komitmen tidak berbelah bahagi dalam membantu kemenangan dua calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pemangku Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata parti itu bekerjasama erat dengan jentera BN bagi memastikan kedua-dua kerusi tersebut dapat dipertahankan demi kestabilan politik.
“PBS kekal konsisten dalam pendirian politiknya dan akan memberi sokongan sepenuhnya kepada calon BN dalam PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
“Kerjasama ini adalah selari dengan semangat kestabilan politik serta sokongan terhadap Kerajaan MADANI,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBS yang pertama bagi tahun ini di Ibu Pejabat PBS, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Joachim turut menegaskan bahawa PBS tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan parti.
“Sekiranya terdapat mana-mana ahli yang ingkar atau bertindak bertentangan dengan arahan parti, perkara tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis lepas.
Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat itu, Joachim berkata perbincangan tertumpu kepada hala tuju strategik parti dalam memperkukuh peranan PBS sebagai parti tempatan yang relevan dan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“PBS akan terus memainkan peranan konstruktif dalam landskap politik negeri dan Persekutuan serta memperkukuh kerjasama dalam gabungan (Gabungan Rakyat Sabah - GRS) demi kestabilan dan kemajuan Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
