JENAYAH & MAHKAMAH

OPERATOR KREN MAUT SELEPAS TIDAK SEDARKAN DIRI DALAM KREN PADA KETINGGIAN 45 METER

23/01/2026 09:39 PM

JOHOR BAHRU, 23 Jan (Bernama) -- Seorang operator kren menara disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kren pada ketinggian 45 meter di Residensi Puncak Austin di sini, pagi tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Noor Azhan Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.51 pagi dan dua “Fire Rescue Tender” dengan kekuatan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau serta BBP Johor Jaya digegaskan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata Pasukan Keluaran Operasi bertindak menggunakan satu “bucket stretcher” dan set tali untuk pembentukan sistem bagi membawa turun mangsa, Muhamad Aliff Ishak, 33.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Hospital Sultan Ismail di sini sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi ditamatkan selepas keadaan selamat dan terkawal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata kejadian dilaporkan berlaku pada 9.18 pagi tadi.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah.

“Pihak Hospital Sultan Ismail telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Unit Forensik hospital berkenaan untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan rasmi bedah siasat.

--BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan