AM

KEMENTERIAN PERPADUAN LANCAR KOLEKSI DIGITAL BRITISH COLONIAL OFFICE

23/01/2026 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara hari ini melancarkan Koleksi Digital British Colonial Office untuk mempromosi, menyebarluaskan dan menyemarakkan koleksi digital terbaharu untuk rujukan serta akses rakyat Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Koleksi British Colonial Office merujuk kepada kumpulan rekod rasmi yang diwujudkan Colonial Office iaitu jabatan kerajaan yang menguruskan pentadbiran tanah jajahan empayar British dari abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20.

“Koleksi ini berkaitan pentadbiran dan tadbir urus, hubungan antarabangsa, perubahan demografi dan kehidupan di negara tanah jajahan British.

“Kumpulan rekod yang disimpan di The National Archives of United Kingdom, London ini amat signifikan kerana turut mengandungi maklumat tentang Malaysia yang akan menjadi rujukan utama penyelidikan sejarah negara,” katanya.

Aaron berkata demikian dalam ucapan pada majlis pelancaran  Koleksi Digital British Colonial Office di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid. 

Beliau berkata koleksi digital yang diperoleh berkaitan Tanah Melayu (Malaya), Singapura, Borneo, Brunei, Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu terdiri daripada surat-menyurat, dokumen, manuskrip, peta, pelan, gambar, perjanjian, laporan, akhbar dan majalah.

Aaron berkata koleksi itu mengandungi 8,507 fail dengan 1,131,112 imej atau muka surat dari 1759 sehingga 1967 boleh diakses di Arkib Negara menggunakan Platform Gale Primary Sources, iaitu pangkalan data digital antarabangsa namun sebarang penyalinan bahan tertakluk kepada Peraturan-peraturan Arkib Negara Malaysia (Fi) 2015.

Beliau berkata penggunaan koleksi itu dapat membantu penyelidikan yang berimpak tinggi, merentas pelbagai disiplin sejarah, sains sosial, undang-undang dan kajian wilayah selain menyokong hasrat kerajaan dalam menangani isu, pertikaian serta polemik berkaitan fakta sejarah pada peringkat negara dan antarabangsa.

“Saya berharap capaian koleksi oleh Arkib Negara ini dapat menarik minat dan menggalakkan pengkaji serta penyelidik dari dalam dan luar negara untuk menjalankan kajian dan penyelidikan berdasarkan sumber sahih,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan