Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam lingkungan RM3,800 hingga RM3,900 satu tan minggu depan, kata seorang peniaga.
Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga pada paras itu berkemungkinan menarik pembeli fizikal dari India, China, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, sekali gus membantu mengurangkan tahap inventori fizikal Malaysia yang kini tinggi.
“Jadi, ia seperti situasi yang saling menguntungkan. Jika harga turun kepada RM3,800-RM3,900 satu tan, kita akan melihat pembeli fizikal sebenar bersedia untuk membeli pada paras harga ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga minyak sawit yang berpangkalan di Kuala Lumpur, David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd menjangkakan niaga hadapan MSM diniagakan dengan kecenderungan menaik berikutan kekuatan eksport baru-baru ini dan jangkaan pengeluaran yang lebih rendah pada minggu-minggu akan datang.
“Kami menjangkakan harga akan berada antara RM4,080 dan RM4,200 satu tan minggu depan,” katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Februari 2026 meningkat RM71 kepada RM4,128 satu tan, Mac 2026 naik RM92 kepada RM4,164 satu tan, manakala kontrak April 2026 menokok RM96 kepada RM4,175 satu tan.
Kontrak Mei 2026 mengukuh RM90 kepada RM4,172 satu tan, Jun 2026 meningkat RM84 kepada RM4,161 satu tan, manakala Julai 2026 berada pada RM4,149 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 333,697 lot daripada 539,268 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka berkurang kepada 228,950 kontrak daripada 249,340 kontrak sebelum ini.
Harga MSM fizikal baharu untuk Januari Selatan meningkat RM90 kepada RM4,140 satu tan.
-- BERNAMA
