AM

RASUAH BUKAN KESALAHAN KECIL, TETAPI PENGKHIANATAN KEPADA NEGARA - SULTAN PAHANG

24/01/2026 03:44 PM

KUANTAN, 24 Jan (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menegaskan bahawa perbuatan rasuah bukan kesalahan kecil, sebaliknya pengkhianatan kepada negara.

Al-Sultan Abdullah bertitah maruah bangsa tidak diukur oleh ketinggian bangunan atau angka dalam akaun, tetapi nilai yang dipertahankan ketika berdepan dengan godaan kuasa dan wang.

Baginda bertitah banyak negara runtuh bukan kerana diserang musuh dari luar, tetapi dikhianati oleh perbuatan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan kerakusan yang tidak dibendung. 

"Ketahuilah rasuah bukan kesalahan kecil, penyalahgunaan kuasa bukan kelemahan manusia biasa, tetapi kejahatan berjawatan. Apabila undang-undang dipermainkan oleh mereka yang sepatutnya menegakkannya, maka negara sedang dipimpin ke jurang kehancuran.

"Hari ini, ada yang memakai seragam, memegang kuasa, dan membawa nama institusi, namun tangannya kotor dan hati mati. Mereka bukan sekadar merosakkan imej organisasi, malah mereka mencuri masa depan anak bangsa," titah baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 "Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat" yang turut dihadiri paduka anakanda Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Anak Bimol, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal dan Presiden Majlis Belia Malaysia Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid. 

Justeru, menerusi titah diraja itu, baginda berpesan supaya golongan muda menghindari perbuatan rasuah dan salah guna kuasa serta bangkit menjadi generasi yang memutuskan rantaian kotor berkenaan. 

"Rasuah itu bukan rezeki, tetapi najis. Penyalahgunaan kuasa itu bukan kebijaksanaan, tetapi racun dan kekayaan haram itu bukan kejayaan, tetapi kutukan yang menunggu waktu.

"Jangan wariskan kepada anak cucu, sebuah negara yang megah pada bangunan, tetapi busuk pada asas, jangan jadikan Malaysia sebuah tanah air, yang kaya di atas kertas, tetapi miskin dari segi maruah," titah baginda.

Sementara itu, baginda turut mengingatkan golongan belia supaya mendisiplinkan diri, mengawal emosi selain memahami bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada populariti dan jumlah pengikut di media sosial serta gaya hidup yang dipamerkan.

"Tetapi, kekuatan sebenar terletak pada keupayaan diri ketika digoda, berpegang pada prinsip ketika diuji dan memilih jalan yang benar walaupun sunyi dan sukar," titah Al-Sultan Abdullah. 

Wacana berkenaan menghimpunkan 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan dalam bidang pembangunan belia dan kenegaraan. 

Program itu juga ialah inisiatif strategik untuk memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan fungsi, peranan dan kedudukan institusi Raja Berperlembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan