KAJANG, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan memperkenalkan projek Seribu Hari Pertama Kanak-kanak sebagai antara usaha untuk mempersiapkan sepenuhnya golongan berkenaan memasuki alam persekolahan lebih awal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata program yang akan dilaksana menerusi Siri Jelajah Karnival Kerjaya Wanita Selangor itu akan dimulakan di Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang, Gombak dan Petaling pada Jun ini.
Selain itu, beliau berkata ibu bapa perlu bertanggungjawab memastikan perkembangan awal kanak-kanak dalam tempoh kritikal enam tahun pertama mendapat penjagaan pemakanan dan kesihatan yang sempurna.
"Ibu bapa bertanggungjawab memastikan persekitaran, pemakanan dan pendedahan yang sihat untuk anak sebelum masuk ke alam persekolahan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita Negeri Selangor khusus bagi Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mengumumkan bermula 2027, kanak-kanak yang berusia enam tahun boleh mengikuti pembelajaran Tahun Satu namun ia tidak wajib dan bergantung kepada ibu bapa.
Sebagai reaksi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kemasukan awal kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu akan dilaksanakan secara fleksibel, bukan bersifat wajib dan hanya melibatkan ibu bapa serta murid yang telah bersedia.
Dalam perkembangan lain, Anfaal berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyiasat kes bayi yang didakwa meninggal dunia di sebuah cawangan taska di Bangi kira-kira tiga tahun lepas, selepas tular video ibu mangsa mengenai insiden itu.
Beliau berkata pihaknya akan meminta JKM Hulu Langat menyiasat kejadian itu memandangkan cawangan taska berkenaan terletak di Bangi.
Tular video di media sosial hari ini, seorang wanita meminta kes kematian bayinya yang didakwa berlaku di sebuah cawangan taska di Bangi pada 17 Jan 2023 sebelum membuat laporan polis pada 14 Feb tahun sama, diberikan perhatian semula.
Anfaal juga mengingatkan pengusaha taska swasta di Selangor supaya memastikan premis mematuhi syarat JKM, mendapatkan lesen pihak berkuasa tempatan (PBT) serta mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pada masa sama, beliau menasihati ibu bapa agar menghantar anak-anak hanya ke taska yang dipastikan selamat dan berdaftar dengan JKM.
“Kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui bahawa sesetengah taska atau pusat jagaan yang terkenal dari segi pemasaran dan kelihatan hebat sebenarnya tidak berdaftar dengan JKM,” katanya.
-- BERNAMA
