AM

MALAYSIA PERLU KELUAR DARIPADA PERANGKAP PENDAPATAN PERTENGAHAN - PM

24/01/2026 05:08 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu keluar daripada perangkap negara berpendapatan pertengahan dengan menetapkan hala tuju yang jelas ke arah ekonomi bernilai tinggi berasaskan teknologi dan digital, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata asas ekonomi negara kini semakin kukuh maka momentum itu perlu disusuli dengan pelaksanaan dasar transformasi digital secara menyeluruh termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan melalui pembangunan bandar pintar.

“Apabila negara ini sudah meletakkan asas ekonomi yang lebih meyakinkan, ia kena disusuli dengan hala tuju yang jelas supaya Malaysia tidak lagi terperangkap sebagai negara pertengahan ataupun pendapatan pertengahan yang disebut middle income trap

“Kita lihat perkembangan negara lain, ia maju, kemudian tersangkut di satu peringkat... sebab itu, kita merangka beberapa dasar dalam pelan perindustrian dan transformasi digital,” katanya ketika berucap pada  Majlis Perasmian Seberang Perai Aspire Centre dan Santuni  Komuniti di pekarangan bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata Malaysia kini muncul sebagai destinasi pelaburan utama dalam sektor teknologi tinggi termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) dengan syarikat global seperti Infineon Technologies, Nvidia Corporation serta Google memilih negara ini sebagai pusat serantau dan pelaburan. 

Beliau berkata perkembangan itu meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik namun memerlukan lonjakan keupayaan modal insan melalui latihan kemahiran, peningkatan kemahiran dan pemahiran semula bagi memastikan rakyat dapat memanfaatkan peluang yang wujud.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Pulau Pinang mempunyai kelebihan dari segi ekosistem perindustrian khususnya dalam sektor semikonduktor, dan MBSP adalah antara majlis perbandaran terawal yang mengambil inisiatif menterjemahkan konsep bandar pintar walaupun berdepan kekangan kewangan.

Beliau juga berkata prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan termasuk pengukuhan nilai ringgit, peningkatan pelaburan dan perdagangan mencecah RM3 trilion mencerminkan keyakinan serta komitmen rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Terdahulu, Anwar merasmikan Seberang Perai ASPIRE Centre (SPACE) yang juga pusat operasi bersepadu MBSP dalam memperkukuh pengurusan bandar pintar melalui integrasi data, sistem aduan pintar, pemantauan trafik, keselamatan awam serta pengurusan perkhidmatan bandar secara masa nyata.

SPACE ditubuhkan sebagai pusat operasi bersepadu MBSP yang menyokong pengurusan bandar pintar serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selain berfungsi sebagai platform utama penyelarasan operasi bandar secara sistematik dan berasaskan teknologi terkini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan