AM

DUA LAGI FASA DANA INOVASI MEDIA DIBUKA FEBRUARI, MAC

24/01/2026 05:59 PM

GENTING HIGHLANDS, 24 Jan (Bernama) -- Syarikat atau organisasi media tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia dan memenuhi kelayakan masih berpeluang memohon Dana Inovasi Media yang diumumkan kerajaan, dengan dua lagi fasa permohonan dijadual dibuka pada awal Februari dan Mac depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata inisiatif berkenaan selari dengan hala tuju digital masa depan yang dibincangkan dalam pemukiman Jemaah Menteri pada 10 dan 11 Jan lepas, sekali gus mencerminkan kesinambungan perancangan strategik kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media dan komunikasi negara.

Beliau berkata fasa pertama permohonan dana berkenaan yang dibuka dari 1 hingga 14 Jan lepas telah selesai, namun masih terdapat dua lagi peluang permohonan untuk organisasi media yang layak.

“Dana Inovasi Media telah dibuka kepada umum yang memenuhi syarat kelayakan. Selain fasa pertama yang telah berakhir, dua lagi fasa akan dibuka pada awal Februari dan disusuli fasa ketiga pada awal Mac.

“Ini bermakna pihak yang terlepas peluang pada fasa pertama masih boleh memohon pada minggu pertama dan kedua bagi Januari, Februari serta Mac masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Kerja Hala Tuju Strategik Kementerian Komunikasi 2026 yang berlangsung selama tiga hari di sebuah hotel di sini, bermula semalam hingga 25 Jan, sebagai platform memperkukuh penyelarasan serta hala tuju strategik kementerian dan agensi berkaitan.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Timbalannya, Teo Nie Ching. 

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj serta pengurusan tertinggi pelbagai agensi di bawah kementerian, termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menurut Abdul Halim, kementerian turut meneroka potensi baharu dalam sektor media melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA), Dana Inovasi Media serta penubuhan Majlis Media Malaysia yang telah diumumkan sebelum ini.

Pada 18 Dis lepas,  Fahmi dilaporkan berkata Dana Inovasi Media bagi Fasa 1 dibuka bermula dari 1 hingga 14 Jan 2026 bagi menyokong transformasi industri media negara supaya kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan dalam era digital.

Dana itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan HAWANA 2025 mengenai pemberian bantuan berjumlah RM30 juta.

Maklumat lanjut serta borang permohonan boleh dimuat turun menerusi laman web www.komunikasi.gov.my mulai 1 Jan 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan