KAPIT, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI meneruskan komitmen memastikan bekalan elektrik 24 jam yang stabil di sekolah pedalaman Sarawak dengan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Projek yang dilaksanakan menerusi Kementerian Kerja Raya itu melibatkan 121 sekolah luar bandar di Sarawak dan bertujuan menggantikan penggunaan janakuasa diesel yang mahal serta sukar diselenggara, khususnya di kawasan pedalaman.
“Pelaksanaan sistem solar hibrid ini membolehkan penjimatan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80 peratus, bersamaan kira-kira RM90 juta setahun berbanding penggunaan diesel,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan Nanga Bangkit, Katibas, Song, hari ini.
Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan RM274.5 juta di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi pelaksanaan projek berkenaan.
Nanta berkata setakat ini, 97 sekolah telah siap dan beroperasi sejak 2023, manakala 15 sekolah lagi disiapkan dan diserahkan pada November 2025, dengan baki sembilan sekolah dijadualkan siap secara berperingkat pada 2026 dan 2027.
Majlis sama turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga pakej kontrak penyelenggaraan sistem solar hibrid bagi tempoh 2025 hingga 2027 bagi memastikan kelangsungan operasi sistem tersebut.
Menteri itu berkata projek berkenaan juga menyokong penggunaan teknologi hijau melalui sistem penstoran tenaga moden menggunakan bateri lithium dan sodium, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta membuka peluang pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Secara keseluruhan, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid dan hampir 2,000 guru di pedalaman Sarawak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan luar bandar secara adil, inklusif dan mampan.
-- BERNAMA
