KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Peratusan lepasan pengajian tinggi peringkat ijazah pertama dan diploma yang bekerja dalam pekerjaan selaras dengan bidang pengajian masing-masing mencatatkan peningkatan sepanjang tempoh 2021 hingga 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berkata bagi peringkat ijazah pertama, peratusan lepasan pengajian tinggi yang bekerja dalam bidang berkaitan meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada 57.6 peratus pada 2024 berbanding 54.3 peratus pada 2021.
Beliau berkata bagi lepasan diploma pula, peratusan yang bekerja dalam bidang selaras dengan pengajian meningkat sebanyak 9.5 peratus kepada 53.3 peratus pada 2024 berbanding 43.8 peratus pada 2021.
Menurutnya, peratusan lepasan pengajian tinggi peringkat ijazah pertama dan diploma yang bekerja dalam pekerjaan mahir turut meningkat masing-masing kepada 68.2 peratus dan 50 peratus pada 2024, berbanding 67.1 peratus dan 44.7 peratus pada 2021.
Sementara itu, beliau berkata peratusan lepasan pengajian tinggi yang bekerja dalam pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah menyusut kepada 50 peratus pada 2024 berbanding 55.3 peratus pada 2021.
“Penyusutan peratusan lepasan pengajian tinggi dalam sektor separa mahir dan berkemahiran rendah mencerminkan peningkatan peluang pekerjaan mahir yang disokong oleh perkembangan ekonomi negara serta inisiatif kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Adam Adli menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai peratusan lepasan pengajian tinggi yang bekerja dalam pekerjaan separa mahir dan di luar bidang pengajian dari 2021 hingga 2025, serta langkah intervensi dan usaha strategik kerajaan bagi mengurangkan peratusan tersebut setiap tahun.
-- BERNAMA
