KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid merupakan langkah strategik mengembalikan peranan masjid sebagai pusat tarbiah, pembangunan ummah dan pembinaan akhlak generasi muda.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata kejayaan inisiatif itu amat bergantung kepada kejelasan mandat, kepercayaan terhadap anak muda dan keberanian pelaksanaan agar tidak berakhir sebagai struktur pentadbiran yang gagal membina rasa memiliki dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata ABIM mencadangkan agar Jawatankuasa Belia Masjid diberi peranan sebenar dalam perancangan dan pelaksanaan program masjid, bukan sekadar pelantikan simbolik selain menjadikan masjid sebagai ruang mesra anak muda yang mendidik dan menyantuni berasaskan hikmah, dialog serta bimbingan berterusan.
“Selain itu, anak muda wajar diperkasakan sebagai penggerak dakwah hikmah dan hubungan kemasyarakatan, termasuk melalui pendekatan seperti program Mosque Tour Guide yang terbukti berkesan dalam membina kefahaman serta keharmonian dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Fahmi berkata ABIM menyambut baik komitmen kerajaan untuk memperkasakan peranan anak muda di masjid menerusi cadangan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid yang disifatkan sebagai langkah strategik mengembalikan fungsi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan penyatuan masyarakat.
Beliau berkata inisiatif yang disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan itu selari dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan penglibatan generasi muda dalam pengimarahan masjid dilaksanakan secara berimpak dan inklusif di seluruh negara.
Ahmad Fahmi berkata prinsip inklusif perlu menjadi teras pelaksanaan inisiatif itu dengan memastikan akses dan penyertaan anak muda orang kurang upaya (OKU) agar tiada golongan yang terpinggir daripada kehidupan beragama dan kemasyarakatan.
Bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun dan konsisten, beliau berpandangan usaha itu wajar diperkasakan pada peringkat nasional melalui kerangka panduan yang menghormati bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri, selain mempertimbangkan penganjuran Persidangan Khas Belia Masjid Se-Malaysia sebagai platform penyelarasan dan perkongsian amalan terbaik penzahiran suara anak muda.
“ABIM percaya anak muda bukan menjauh daripada masjid, sebaliknya memerlukan ruang, peranan dan kepercayaan untuk bangkit sebagai penggerak serta pemimpin yang mampu menghidupkan masjid dengan nafas baharu tanpa mengorbankan roh, adab dan kesuciannya sebagai nadi pembinaan ummah,” katanya.
Semalam, Zulkifli berkata pihaknya menyokong penuh dan akan mengkaji cadangan yang dibuat Perdana Menteri berhubung penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid itu bersama-sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri mencadangkan setiap masjid mewujudkan jawatankuasa khas orang muda bagi memberi peluang kepada golongan itu merancang serta melaksanakan program kemasyarakatan dan keagamaan.
Sementara itu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang turut menyambut baik cadangan itu mencadangkan supaya penubuhan jawatankuasa tersebut disokong dengan modul latihan kepimpinan belia masjid, latihan jurulatih serta pendampingan berterusan pada peringkat daerah dan kariah.
Yang Dipertua YADIM Datuk Dr Hasan Bahrom dalam kenyataan hari ini berkata pendekatan itu penting bagi memastikan belia yang dilantik benar-benar bersedia memikul amanah, bukan sekadar mengisi struktur organisasi.
“Selaras dengan aspirasi itu, YADIM akan menganjurkan Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) sebagai platform penyelarasan pemikiran dan kefahaman asatizah muda terhadap dasar serta hala tuju pentadbiran hal ehwal agama negara.
“HAMKA turut dilihat sebagai medan strategik untuk melahirkan jurulatih, fasilitator dan pemimpin muda masjid yang mampu membimbing belia pada peringkat akar umbi, sejajar dengan keperluan penubuhan jawatankuasa belia masjid di seluruh negara,” katanya.
Hasan berkata program yang diilhamkan oleh Zulkifli itu dijadualkan berlangsung pada Februari ini di Masjid Wilayah Persekutuan dengan penyertaan hampir 1,000 guru dan pendakwah muda.
Beliau berkata YADIM sedia menjadi rakan strategik, jurulatih dan penyedia kepimpinan belia masjid dengan berkongsi kepakaran, modul latihan serta pengalaman lapangan menerusi alumni Daie Muda YADIM bagi memastikan pelaksanaan yang tersusun, berhemah dan memberi impak jangka panjang.
-- BERNAMA
