AM

BANK MUAMALAT, YAYASAN ANGKASA JALIN KERJASAMA STRATEGIK MANFAATKAN PELAJAR IPT, KOMUNITI

26/01/2026 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) menjalin kerjasama strategik dengan Yayasan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Yayasan ANGKASA) untuk memberikan manfaat langsung kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan komuniti, selari dengan prinsip kewangan Islam serta komitmen tanggungjawab sosial korporat.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersempena dengan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Anugerah Cemerlang Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah Yayasan ANGKASA Sesi 2025/2026, yang disempurnakan oleh Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Pengarah Perbankan Komersial Bank Muamalat Datuk Mohamed Nazir Nor Mohamed, baru-baru ini.

Bank Muamalat dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu juga membolehkan pelaksanaan program pendanaan awam bagi Dana Pendidikan Yayasan ANGKASA, khususnya untuk menyokong pelajar pusat pengajian tinggi yang menerima pembiayaan pendidikan daripada yayasan berkenaan.

“Sejak 2000 hingga kini, Yayasan ANGKASA telah mengagihkan pembiayaan lebih RM32 juta kepada 1,700 pelajar dan daripada jumlah itu, lebih RM11 juta telah ditukar kepada biasiswa,” katanya.

Turut berlangsung pada majlis itu ialah pelancaran kempen baharu Jariah Fund (JF) Bank Muamalat sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh sokongan terhadap pendidikan, kebajikan masyarakat dan pembangunan komuniti secara mampan, selain penganjuran sesi literasi kewangan Cilik Celik Kewangan.

-- LAGI

 

BANK MUAMALAT-YAYASAN ANGKASA 2 KUALA LUMPUR

 

Selain itu, Bank Muamalat memaklumkan kerjasama itu turut merangkumi promosi bersama dan kolaborasi dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR), penganjuran seminar, bengkel serta sesi perkongsian ilmu berkaitan kewangan Islam, tadbir urus korporat dan pengurusan kewangan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju menawarkan peluang penajaan dan pakej korporat bagi menyokong aktiviti pembangunan komuniti dan pendidikan.

“Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, Bank Muamalat akan menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar tajaan Yayasan ANGKASA, khususnya dalam sektor perbankan dan kewangan Islam,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad Datuk Khairul Kamarudin berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen bank untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memperkasakan pendidikan dan membangunkan masyarakat secara inklusif.

“Dengan 12,045 koperasi dan melebihi 7.2 juta ahli yang bernaung di bawah ANGKASA, kerjasama strategik bersama-sama Yayasan ANGKASA sejajar dengan aspirasi Bank Muamalat untuk menjadikan kewangan Islam sebagai pemangkin kesejahteraan ummah.

--  LAGI

 

BANK MUAMALAT-YAYASAN ANGKASA 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

 

“Menerusi inisiatif seperti Dana Pendidikan, program CSR serta latihan industri, kami berhasrat menyokong usaha melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan bersedia menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata kerjasama strategik antara Bank Muamalat dengan Yayasan ANGKASA juga dijangka dapat memberikan impak positif jangka panjang, bukan sahaja kepada para pelajar dan penerima manfaat, malah juga kepada pembangunan ekosistem kewangan Islam dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Berhubung dengan pelancaran kempen baharu JF pula, beliau berkata kempen itu ialah manifestasi komitmen Bank Muamalat dalam memperkukuh ekosistem kebajikan berteraskan nilai Islam.

“Jariah Fund diwujudkan sebagai platform untuk menggalakkan penyertaan orang ramai, institusi dan rakan korporat dalam menyokong inisiatif kebajikan dan pendidikan yang memberikan impak berpanjangan. Ia mencerminkan prinsip perkongsian nilai yang menjadi teras Bank Muamalat,” katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: Bank Muamalat, Yayasan ANGKASA, dana pendidikan, kempen, Jariah Fund

 


NDJM NAM HAZ

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan