GEORGE TOWN, 26 Jan (Bernama) -- Kuil Nattukotai Chettiar, Waterfall, Pulau Pinang secara rasmi memperkenalkan sistem penjejakan kecerdasan buatan (AI) untuk perarakan pedati perak sempena Thaipusam, menandakan satu pencapaian teknologi dalam sejarah panjang festival itu.
Pemegang Amanah Kuil Nattukotai Chettiar PRC Veerappan berkata penjejak tersebut akan memberikan kemas kini lokasi masa nyata dan anggaran masa ketibaan untuk penganut yang mengikuti perarakan.
“Tahun ini, kami secara rasmi melancarkan penjejak kami sendiri di bawah domain baharu, Silver Chariot Penang. Ia dipertingkatkan dengan AI dan ditentukur menggunakan data yang dikumpul sejak dua tahun lepas untuk ramalan masa yang lebih tepat," katanya kepada pemberita pada sidang media di Kuil Nagarathar Kovil Veedu, di sini hari ini.
Beliau berkata pedati berusia seabad itu, yang dibina di Karaikudi, Tamil Nadu, India dan dihantar ke Pulau Pinang pada Januari 1894, akan mencapai usia 132 tahun, manakala perarakan pedati utama memasuki 169 tahun, telah berlangsung setiap tahun tanpa gangguan termasuk semasa pandemik COVID-19.
Pedati kayu digunakan selama 35 tahun untuk sambutan Thaipusam di Pulau Pinang sebelum ditukarkan kepada pedati perak pada 1894 yang kini berketinggian 23.9 meter dan seberat lima tan.
Veerapan berkata pedati itu diselenggara secara tahunan yang dikendalikan oleh sukarelawan merangkumi tiga generasi sebuah keluarga, mencerminkan warisan mendalam dan kesinambungan di sebalik perarakan itu.
Beberapa minggu sebelum Thaipusam, sukarelawan menjalankan kerja-kerja pelinciran, menggilap komponen perak, membaiki lampu dan kerja-kerja penyelenggaraan lain bagi memastikan pedati itu dalam keadaan sempurna,” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa 16 pasang lembu jantan menjadikan keseluruhan 32 lembu jantan, akan digunakan untuk menarik pedati dan diganti kira-kira setiap 500 meter untuk mengelakkan haiwan itu keletihan sekali gus menolak spekulasi bahawa hanya beberapa ekor sahaja digunakan berulang kali.
Veerappan juga mengesahkan bahawa laluan perarakan tidak berubah dan pihak kuil telah meminta kebenaran pihak berkuasa secara rasmi untuk bermula seawal 5.30 pagi pada 31 Jan bertujuan mengurangkan kelewatan dan membolehkan upacara keagamaan di Kuil Nattukotai Chettiar dijalankan lebih lancar.
Beliau berkata pedati perak itu akan memulakan perjalanan dari Kuil Nagarathar Kovil Veedu di Lebuh Penang pada 31 Jan, melalui Chulia Street, Victoria Street, Maxwell Road, Jalan Datuk Keramat, Western Road sebelum tiba di Kuil Nattukotai Chettiar.
Untuk perjalanan pulang, pedati berkenaan dijangka berlepas dari Kuil Nattukottai Chettiar pada 6.30 petang, 2 Feb dan akan tiba di Kuil Nagarathar Kovil Veedu pada 8.30 pagi pada 3 Feb.
Perayaan Thaipusam di Pulau Pinang unik kerana ia disambut sehari sebelumnya, dikenali sebagai ‘Chetti Pusam’, menampilkan perarakan oleh masyarakat Chettiar yang membawa kira-kira 90 kavadi burung merak berserta pedati perak dan diperhebat sejak 2017 dengan pengenalan pedati emas yang membawa lembing (vel) Dewa Murugan.
-- BERNAMA
