AM

SARAWAK SUDAH TERTERA DALAM PETA PERNIAGAAN AS - KAGAN

26/01/2026 09:29 PM

KUCHING, 26 Jan (Bernama) -- Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Edgard D. Kagan yakin Sarawak akan terus menarik minat dan pelaburan lebih besar daripada syarikat AS pada masa akan datang susulan usaha berterusan bagi mempromosikan negeri itu sebagai destinasi perniagaan yang berdaya saing.

Kagan, yang akan meninggalkan Malaysia bulan depan apabila tempoh perkhidmatannya berakhir, berkata walaupun syarikat AS akan membuat keputusan pelaburan mereka sendiri, Sarawak semakin diiktiraf sebagai lokasi yang mempunyai potensi kukuh.

“Saya telah memaklumkan setiap syarikat AS yang saya temui dan sedang mengintai peluang di Malaysia, bahawa mereka patut melihat Sarawak… saya juga percaya usaha kami telah meletakkan Sarawak di peta perniagaan AS melalui kerjasama dengan rakan-rakan di Dewan Perniagaan AS, Majlis Perniagaan AS-ASEAN serta Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Seiring dengan masa, anda akan menyaksikan pelaburan lebih besar di sini oleh syarikat-syarikat AS,” katanya pada sesi libat urus bersama media di sini hari ini. 

Kagan juga berkata minat perniagaan AS di Sarawak setakat ini tertumpu terutamanya dalam sektor tenaga selain aktiviti pembuatan seperti kilang Western Digital dalam industri elektrik dan elektronik (E&E).

Beliau percaya fokus ini akan berkembang seiring dengan pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi Sarawak serta menjangkakan lebih banyak syarikat AS akan menembusi pasaran di Bumi Kenyalang.  

Kagan turut menekankan potensi kukuh Sarawak dalam sektor tenaga terutama tenaga boleh diperbaharui dan berkata peluang tidak terhad kepada penjanaan tenaga semata-mata tetapi juga merangkumi peralihan serta pengurusan tenaga.

“Kapasiti tenaga Sarawak beserta akses kepada elektrik dan air, menjadikan Bumi Kenyalang sesuai untuk menarik pusat data.

“Selain infrastruktur, aset terbesar Sarawak ialah rakyat dan bakatnya, yang saya percaya akan terus menjadikan negeri ini sebagai destinasi menarik untuk pelaburan asing termasuk daripada syarikat AS pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan