AM

PBAPP PERTIMBANG PROTOKOL TANPA SWSI UNTUK PROJEK PAIP UTAMA - CHOW

28/01/2026 07:49 PM

GEORGE TOWN, 28 Jan (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan mempertimbangkan pelaksanaan kerja-kerja penyambungan saluran paip utama secara tanpa gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bagi projek berskala besar untuk mengelakkan kesulitan kepada pengguna pada masa hadapan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pendekatan itu akan diberi keutamaan khususnya bagi kerja-kerja yang berpotensi menjejaskan 20,000 atau lebih akaun pengguna air di negeri itu.

“Pelaksanaan teknologi baharu seperti line stopping dan hot tapping membolehkan PBAPP mengelakkan gangguan bekalan air berjadual yang sebelum ini berpotensi menjejaskan kira-kira 26,000 pengguna di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

“Insiden kebocoran paip di bawah dasar Sungai Perai pada Disember 2024 adalah satu keadaan kecemasan apabila air keluar dari dasar ke permukaan sungai, memerlukan tindakan segera termasuk menghantar penyelam untuk membalut bahagian bocor namun tidak berkesan kerana tekanan air yang terlalu kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan kerja penyambungan akhir saluran paip menyeberangi Sungai Perai kedua yang siap sepenuhnya hari ini, lebih awal daripada jadual.

“Keputusan kemudian dibuat untuk melaksanakan pintasan menggantikan bahagian paip yang bocor bagi memastikan bekalan air dapat diteruskan,” katanya. 

Chow berkata kerja-kerja menggantikan paip itu melibatkan empat lokasi lintasan bawah Sungai Perai yang digunakan sejak 1970-an, termasuk di Ampang Jajar, Kampung Telok, Pengkalan Tambang dan Kampung Bagan Serai.

Beliau berkata kerja menggantikan paip itu bermula Januari 2025 dan dua lokasi awal berjaya disiapkan pada 20 April 2025, namun operasi sambungan ketika itu memerlukan gangguan bekalan air sementara kepada pengguna.

Beliau bagaimanapun berkata bagi dua lokasi terakhir, PBAPP menggunakan kaedah baharu yang membolehkan penyambungan dilakukan tanpa perlu menutup bekalan air.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K Pathmanathan berkata keseluruhan kos bagi empat lintasan paip menyeberangi Sungai Perai ialah RM18.6 juta.

Beliau berkata selepas semua kerja disempurnakan, risiko kebocoran paip lama di bawah dasar sungai dapat diminimumkan dan bekalan air kepada pengguna lebih terjamin.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan