Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan lima hari berturut-turut dengan ditutup rendah pada Rabu, berikutan pelabur mengambil keuntungan daripada kenaikan terkumpul 4.25 peratus sepanjang lima sesi sebelumnya, kata seorang penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 14.76 mata atau 0.83 peratus kepada 1,756.49 daripada 1,771.25 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.46 mata lebih rendah pada 1,769.79, mencecah paras tertinggi harian, namun mencatat paras terendah pada 1,750.05 ketika sesi tengah hari.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 876 kepada 384, manakala 525 kaunter tidak berubah, 964 tidak diniagakan dan 94 digantung.
Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 3.65 bilion unit bernilai RM4.41 bilion daripada 3.58 bilion unit bernilai RM4.46 bilion pada Selasa.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dengan kadar dan momentum kenaikan pasaran baru-baru ini, tindakan pengambilan untung adalah perkara biasa dan sebenarnya sihat bagi pasaran.
"Pembetulan ini adalah bersifat sementara dan bukan struktur.
"Aktiviti dagangan yang melebihi 3.0 bilion saham menunjukkan penyertaan pelabur kekal aktif, berbanding langkah menjauhi risiko secara menyeluruh," katanya kepada Bernama.
Selain itu, pelabur dilihat mengambil peluang untuk meraih keuntungan menjelang keputusan dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang dijangka diumumkan kemudian hari ini.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng pula melihat perkembangan ini adalah sihat, membolehkan pasaran menyerap kenaikan terkini dan bersedia untuk fasa kenaikan seterusnya.
"Sentimen pasaran kekal kukuh, dengan pelabur terus mengekalkan saham yang dimiliki meskipun berada berhampiran paras tinggi baru-baru ini, menunjukkan pasaran sedang mengukuh dan bukan sebaliknya.
"Selagi indeks kekal di atas zon sokongan 1,740–1,750 dan penyertaan pelabur asing terus menyokong, trend menaik secara keseluruhan dijangka kekal utuh,” kata beliau.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM11.80 dan IHH Healthcare melonjak 31 sen kepada RM9.02, manakala Public Bank susut lima sen kepada RM4.95, CIMB merosot 30 sen kepada RM8.65 dan Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM14.08.
Bagi saham aktif, ISF Group, yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE, meningkat 15 sen kepada 48 sen, manakala Capital A dan Tanco Holdings naik satu sen masing-masing kepada 58.5 sen dan RM1.34, dan Velesto Energy turun satu sen kepada 30.5 sen.
Antara saham paling untung, Dutch Lady Milk Industries meningkat 78 sen kepada RM33.80, Kuala Lumpur Kepong naik 26 sen kepada RM20.08, dan Allianz Malaysia naik 24 sen kepada RM23.24.
Saham yang merosot termasuk Nestle, susut RM2.10 kepada RM113.50, Malaysian Pacific Industries susut 72 sen kepada RM32.50, Fraser & Neave turun 50 sen kepada RM35.50 dan United Plantations turun 28 sen kepada RM30.50.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 106.90 mata kepada 12,657.18, Indeks FBM Emas merosot 112.31 mata kepada 12,842.39, Indeks FBM Mid 70 turun 150.84 mata kepada 17,563.23, Indeks FBM Emas Syariah susut 91.94 mata kepada 12,396.27, manakala Indeks FBM ACE menyusut 88.82 mata kepada 4,746.76.
Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 205.98 mata kepada 21,507.68, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.92 mata kepada 178.01, dan Indeks Tenaga merosot 11.08 mata kepada 757.43. Sebaliknya, Indeks Perladangan meningkat 6.72 mata kepada 8,444.78.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menurun kepada 2.04 bilion unit bernilai RM3.96 bilion berbanding 2.22 bilion unit bernilai RM4.20 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 956.75 juta unit bernilai RM137.89 juta daripada 919.73 juta unit bernilai RM112.26 juta sebelumnya.
Pasaran ACE mencatatkan 653.13 juta unit bernilai RM309.05 juta, meningkat daripada 441.14 juta unit bernilai RM145.30 juta.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 320.73 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan industri (308.75 juta), pembinaan (160.78 juta), teknologi (250.71 juta), perkhidmatan kewangan (179.53 juta), hartanah (259.32 juta), perladangan (43.29 juta), Amanah Pelaburan Hartanah (27.79 juta), dana tertutup (10,600), tenaga (185.81 juta), kesihatan (176.10 juta), telekomunikasi dan media (41.29 juta), pengangkutan dan logistik (48.43 juta), utiliti (39.61 juta), dan amanah perniagaan (220,700).
-- BERNAMA
