Oleh Linda Khoo
CEBU CITY (Filipina), 28 Jan (Bernama) -- Kesinambungan agenda akan menjadi faktor penting apabila Filipina mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2026, dengan Manila dijangka memanfaatkan keutamaan Malaysia 2025 bagi mengekalkan momentum, memelihara perpaduan dan mengukuhkan keyakinan terhadap blok serantau itu.
Profesor Adjung Universiti Malaya, Datuk Dr Ilango Karuppannan berkata Malaysia melaksanakan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 melalui kepimpinan berasaskan tanggungjawab, dengan memajukan agenda yang dipersetujui bersama, memperkukuh kepusatan ASEAN serta mengekalkan perpaduan di tengah-tengah ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat.
“Kesinambungan adalah kritikal. Keberkesanan ASEAN sentiasa bersandarkan keupayaannya untuk mengekalkan keutamaan yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa, dan bukannya mengubah hala tuju setiap kali berlaku pertukaran pengerusi.
“Bagi Filipina, mengekalkan kesinambungan itu akan membantu mengukuhkan momentum, memastikan kesepaduan dasar dan memperkukuh keyakinan dalam kalangan negara anggota ASEAN serta rakan kongsi luar,” katanya kepada Bernama.
Filipina menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini di bawah tema “Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama” yang menumpukan usaha kolektif untuk mengukuhkan keamanan dan keselamatan, meningkatkan kemakmuran, serta memperkasa rakyat di rantau ini.
Dengan hala tuju strategik ASEAN telah digariskan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Karuppannan berkata cabaran Filipina adalah untuk memastikan tumpuan blok kekal kepada pelaksanaan, termasuk memastikan komitmen seperti Visi Komuniti ASEAN 2045 diterjemahkan kepada hasil praktikal bagi semua negara anggota.
“Sebagai Pengerusi, Filipina akan memainkan peranan penting dalam menterjemah komitmen bersama kepada hasil yang nyata, sambil memastikan pelaksanaan kekal inklusif dan sensitif terhadap kapasiti berbeza setiap negara anggota.
“Instrumen seperti Visi Komuniti ASEAN 2045 adalah hasil persetujuan kolektif dan rundingan panjang. Nilai sebenarnya terletak pada pelaksanaan, penyelarasan dan perhatian politik yang berterusan,” katanya.
Sepanjang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, Malaysia memajukan rangka kerja utama, mengukuhkan mekanisme institusi da n melancarkan program perintis merentasi ketiga-tiga tonggak ASEAN -- Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC).
Menurut bekas duta besar Malaysia itu, cabaran utama Filipina ialah memelihara kepusatan ASEAN dalam persekitaran strategik yang semakin mencabar.
Beliau berkata perkembangan terkini, termasuk isyarat daripada strategi pertahanan Amerika Syarikat (AS) menunjukkan persaingan AS-China dijangka meningkat, dengan implikasi langsung terhadap dinamik keselamatan serantau.
“Dalam konteks ini, ASEAN akan semakin diharapkan untuk memainkan peranan lebih aktif - bukan sekadar sebagai penganjur, tetapi sebagai pengurus hal ehwal serantau, membantu mengekalkan dialog, mengurangkan salah tafsir dan mencegah peningkatan ketegangan.
“Jangkaan ini meletakkan tuntutan lebih besar terhadap jentera diplomatik ASEAN,” katanya.
Karuppannan berkata ASEAN juga perlu meningkatkan keupayaan dalam mengurus ketegangan intra-serantau seperti peningkatan ketegangan antara Thailand dan Kemboja bagi mengelakkan ia bertambah buruk atau terjerumus dalam persaingan kuasa luar.
Bagi Filipina, ujian utama ialah sama ada ASEAN dapat memperkukuh peranannya dalam pengurusan krisis sambil mengekalkan perpaduan dan kredibiliti, selaras dengan "keutamaan lama ASEAN yang menekankan tindakan berhati-hati dan persetujuan bersama".
Mengenai Permukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di Cebu City, mesyuarat rasmi pertama ASEAN tahun ini di bawah Kepengerusian Filipina, Karuppannan berkata isu-isu serantau yang berlarutan berkemungkinan kekal menjadi tumpuan perbincangan.
“Myanmar terus menjadi cabaran besar dengan kemajuan terhad dalam usaha meredakan keadaan serta kebimbangan kemanusiaan yang berterusan.
“Laut China Selatan juga kekal sebagai keutamaan memandangkan perkembangan di lapangan terus memberi kesan terhadap kestabilan serantau dan kesepaduan ASEAN.
“Isu-isu ini mendesak bukan kerana ia baharu, tetapi kerana ia menguji secara langsung perpaduan, kredibiliti dan kapasiti ASEAN dalam mengurus cabaran keselamatan di kawasan kejiranan terdekatnya,” katanya.
Selain isu-isu lazim itu, Karuppannan berharap menteri-menteri luar ASEAN juga akan membincangkan secara terbuka mengenai persekitaran global yang berubah.
Beliau menarik perhatian kepada penghakisan multilateralisme secara beransur-ansur, termasuk penarikan diri AS daripada forum sedia ada dan kemunculan idea kontroversi seperti “Lembaga Keamanan” yang boleh menjejaskan kerjasama inklusif berasaskan peraturan.
“Bagi ASEAN, trend ini penting bukan sahaja kerana ia melemahkan sistem global, tetapi kerana ia mewujudkan tekanan baharu terhadap perpaduan ASEAN, terutamanya jika negara anggota bertindak balas secara berbeza terhadap perubahan penjajaran luaran,” katanya.
Permukiman AMM akan menghimpunkan menteri-menteri luar dan pegawai kanan dari 11 negara anggota di sini bagi merangka agenda blok menjelang Sidang Kemuncak ASEAN dan Mesyuarat Berkaitan pada Mei dan November ini.
Sementara itu, Jurucakap Filipina bagi Hal Ehwal ASEAN, Dominic Xavier M. Imperial berkata permukiman itu akan memberi peluang kepada menteri-menteri luar menyelaraskan keutamaan ASEAN tahun ini, menyemak semula pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini dan bertukar pandangan mengenai perkembangan utama serantau dan global yang mempengaruhi rantau ini.
Beliau berkata Filipina akan mengemudi perbincangan berdasarkan tiga keutamaannya -- “Peace and Security Anchors”, “Prosperity Corridors” dan “People Empowerment” -- di samping menangani isu rentas sektor seperti kerjasama maritim, transformasi digital, kecerdasan buatan, perubahan iklim dan kesiapsiagaan bencana.
“Kami juga berhasrat mengukuhkan kerjasama maritim di rantau ini, yang penting bukan sahaja untuk Filipina tetapi juga untuk setiap negara anggota.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Filipina akan memandu keutamaan ini dan kami ingin melihat kemajuan dalam bidang berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA
