JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS MINTA BANTUAN ORANG RAMAI KESAN LELAKI HILANG DI PEKAN

28/01/2026 09:51 PM

KUANTAN, 28 Jan (Bernama) -- Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak tengah malam semalam di Felda Chini Timur, Pekan.

Ketua Polis Daerah Pekan Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Amirul Ahmad, 38, pada 4.30 petang. 

Beliau berkata mangsa, yang mengalami kemurungan sejak menamatkan persekolahan selepas Tingkatan Lima, sering keluar pada waktu malam untuk bermain dan menebas semak samun di belakang rumah namun akan pulang ke rumah ketika waktu subuh. 

“Semasa keluar rumah, mangsa tidak membawa apa-apa barang keperluan. Pakaian terakhir mangsa yang dimaklumkan oleh pihak keluarga ialah berbaju biru dan berseluar hitam serta berkepala botak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Zaidi juga berkata pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat dengan fokus carian di kawasan hutan dan paya belakang rumah mangsa dengan dibantu oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penduduk sekitar. 

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Siti Kamariah Tuman di talian 013-6432 400 atau terus menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di talian 09-4221 222,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan