KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Ketiadaan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP), pemanduan tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL) serta kegagalan mempamerkan ICP mengikut ketetapan dikenal pasti sebagai tiga kesalahan utama yang kerap dilakukan pemandu van warga Thailand yang beroperasi di negara ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata kesalahan itu dikesan menerusi pelaksanaan Ops Tunggak Kenderaan Thailand yang dijalankan secara berterusan sejak 2023, khususnya di negeri-negeri sempadan.
Beliau berkata hasil penguatkuasaan berfokus dan konsisten membolehkan JPJ mengutip tunggakan saman kenderaan berdaftar Thailand berjumlah RM5.59 juta bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Kutipan berkenaan, katanya merekodkan hasil sebanyak RM203,400 pada 2023, meningkat kepada RM1.16 juta pada 2024 dan melonjak ketara kepada RM4.22 juta tahun lepas.
“Jumlah kutipan ini mencerminkan keberkesanan strategi penguatkuasaan bersepadu, selain menunjukkan tahap pematuhan yang semakin meningkat dalam kalangan pemilik dan pemandu kenderaan asing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhammad Kifli berkata sehingga kini kira-kira 1,000 kenderaan berdaftar Thailand yang merentasi empat negeri sempadan masih berada dalam pemantauan JPJ.
Beliau berkata sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, jabatan itu merekodkan 11,946 kes membabitkan kenderaan tanpa ICP, pemandu tanpa CDL (3,585 kes) serta 5,573 kes kegagalan mempamerkan ICP mengikut kehendak yang ditetapkan.
“Dua negeri dengan jumlah kes tertinggi ialah Kedah dengan 37,527 kes, diikuti Kelantan sebanyak 6,653 kes, selari dengan kedudukan geografi kedua-dua negeri yang berhampiran pintu masuk sempadan negara,” katanya.
Beliau menasihati pemilik serta pemandu kenderaan asing supaya menjelaskan tunggakan saman dan memastikan semua dokumen perjalanan serta kenderaan berada dalam keadaan sah sebelum memasuki atau bergerak di dalam negara.
Mengulas mengenai Ops Luxury, Muhammad Kifli berkata sejak dilancarkan pada Julai tahun lepas, JPJ telah menyita 1,050 kenderaan mewah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta.
Antara kenderaan mewah yang disita ialah Rolls-Royce, Mercedes-Benz, BYD dan Lamborghini, dengan operasi terbaharu di Karak, Pahang baru-baru ini menyaksikan enam kenderaan bernilai kira-kira RM3 juta disita.
Beliau berkata tindakan penyitaan terbukti meningkatkan tahap pematuhan pemilik apabila kira-kira 90 peratus daripada mereka melunaskan tunggakan cukai jalan selepas tindakan diambil, sambil menegaskan pemantauan berterusan akan terus dilaksanakan terutama di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
-- BERNAMA
