AM

PENGENALAN PELAN MHIT BERPREMIUM RENDAH, ISU MA63 ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

29/01/2026 09:11 AM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan mengenai pengenalan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT) berpremium rendah serta isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Menteri Kewangan menjelaskan matlamat utama pengenalan pelan MHIT berpremium serendah RM80 sebulan termasuk kriteria kumpulan sasaran pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Khoo juga ingin tahu sejauh mana pelan berkenaan dijangka mengurangkan beban kos perubatan isi rumah berbanding insurans sedia ada.

Pada sesi sama, Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) meminta Perdana Menteri menyatakan perbezaan pendekatan Kerajaan MADANI dalam menangani isu MA63 berbanding kerajaan terdahulu dari segi keikhlasan dan keberanian membuat pembaharuan serta manfaat langsung yang dijangka dapat dirasai oleh rakyat Sabah dan Sarawak hasil penambahbaikan struktur MA63.

Turut tersenarai, soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dalam pengagihan minyak masak peket bersubsidi kepada warga emas dan orang miskin di luar bandar tanpa kemudahan Internet serta langkah memastikan tiada isi rumah tercicir akibat pelaksanaan aplikasi tersebut.

Sementara itu pada sesi soal jawab lisan, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) bertanyakan Menteri Pendidikan Tinggi mengenai langkah untuk memastikan graduan memiliki kompetensi sebenar dan tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI).

Hal ini susulan laporan Student Generative AI Survey 2025 mendapati 92 peratus pelajar menggunakan AI dalam tugasan dan 88 peratus untuk penilaian bagi mengekalkan kemahiran kritikal relevan pasaran kerja.

Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) pula meminta Perdana Menteri menyatakan langkah jangka pendek dan panjang bagi mempermudah akses pendeposit Tabung Haji menunaikan ibadah haji supaya mereka tidak menghadapi kebimbangan dari segi kewangan dan kesihatan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan atau menolak tawaran menunaikan ibadah itu seperti yang berlaku pada musim haji 1446H.

Usai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat seterusnya akan menyambung semula perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan kali ini berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan