JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS AHLI LEMBAGA PENGARAH SYARIKAT E-WASTE MENGAKU TIDAK BERSALAH RASUAH PEGAWAI JAS

29/01/2026 12:19 PM

SEREMBAN, 29 Jan (Bernama) -- Bekas ahli lembaga pengarah syarikat pelupusan sisa elektronik (e-waste) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat memberi rasuah RM50,000 kepada pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun lepas.

Jiang Fanjun, 43, yang merupakan warga China, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa bersubahat dengan warga tempatan Soon Kein Chong, 40, dengan memberikan suapan berjumlah RM50,000 kepada pegawai JAS berkenaan.

Perbuatan itu didakwa sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang tidak diambil terhadap Kein Chong di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi kesalahan tidak memiliki lesen premis, tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah, tiada kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar dan larangan menempatkan buangan terjadual di premis yang tidak ditetapkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Zamrud, Kawasan Perindustrian Nilai, kira-kira 1 tengah hari, 12 Feb tahun lepas mengikut Seksyen 28 (1) (c) dibaca bersama Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan dengan melapor diri di pejabat SPRM setiap awal bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau pihak ketiga.

Peguam Muhammad Denial Khairul Hizam yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan dan syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan selain bersetuju dengan semua syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 6 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 Jan lepas, Kein Chong yang juga ejen syarikat berkenaan mengaku tidak bersalah atas kesalahan memberi rasuah kepada pegawai JAS tersebut.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan