AM

PERKUKUH KEPERCAYAAN RAKYAT TERHADAP TENTERA DARAT MELALUI PROFESIONALISME, INTEGRITI - PM

29/01/2026 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kepercayaan rakyat terhadap Tentera Darat Malaysia tidak boleh dibina melalui slogan semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh melalui amalan profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditegaskan ketika beliau menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu Jeneral Datuk Azhan Md Othman di pejabatnya di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau berkata selain membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara, Perdana Menteri turut menekankan keperluan memastikan institusi menjadi sandaran harapan seluruh rakyat itu kekal diyakini, berwibawa dan bebas daripada sebarang amalan yang boleh mencalar imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dalam konteks cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, saya menekankan tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia.

“Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani, di samping memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta para veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Azhan yang merupakan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan lepas.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan