AM

MALAYSIA SEDIA SAMBUNG RANGKAIAN REL THAILAND KE RANTAU PANJANG - LOKE

29/01/2026 05:10 PM

KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) -- Malaysia bersedia menghidupkan semula sambungan perkhidmatan kereta api dari Rantau Panjang ke Sungai Golok, Thailand bagi memperkukuh hubungan pengangkutan serta ekonomi dua hala antara kedua-dua negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata langkah itu termasuk penyambungan semula Koridor Rantau Panjang menerusi laluan rel antara Pasir Mas dengan Rantau Panjang, melibatkan projek baik pulih landasan bagi membolehkan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad beroperasi sehingga kawasan sempadan.

Loke berkata projek berkenaan yang melibatkan jajaran Pasir Mas–Rantau Panjang, akan dilaksanakan kementeriannya sebagai sebahagian daripada perancangan jangka sederhana negara.

"Malaysia turut mengalu-alukan hasrat Thailand untuk menyambung rangkaian rel mereka sehingga Rantau Panjang, namun beberapa pertukaran kerajaan di negara itu sejak setahun lepas telah menjejaskan kesinambungan perbincangan antara kedua-dua pihak.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Thailand sebelum ini dan banyak perkara telah diputuskan, bagaimanapun berlaku pertukaran menteri dan kini mereka akan menghadapi pilihan raya dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.My Kota Bharu di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan lanjut dijangka dapat diteruskan selepas pembentukan kerajaan baharu Thailand, sambil memaklumkan bahawa pengendali kereta api negara itu, State Railway of Thailand, secara amnya menunjukkan minat untuk menyambung rangkaian rel ke Koridor Rantau Panjang.

“Kerajaan Malaysia memang bersedia dan berharap projek sambungan ini dapat dilaksanakan semula,” katanya.

Loke berkata projek itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan kini berada pada peringkat penyediaan dokumen tender.

“Tender akan dipanggil tidak lama lagi dan tempoh pelaksanaan projek dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan projek naik taraf laluan kereta api Pasir Mas–Rantau Panjang dijangka mula dilaksanakan tahun ini dengan kos keseluruhan RM264 juta.

Projek itu diluluskan di bawah Rolling Plan 1 RMK13 bagi 2026 dan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Aset Keretapi, dengan proses perolehan dijangka bermula pada suku pertama tahun ini.

Pelaksanaan projek berkenaan bertujuan mengaktifkan semula laluan itu bagi perkhidmatan tren penumpang dan kargo, sekali gus memperkukuh hubungan rel rentas sempadan Malaysia–Thailand melalui sambungan ke Sungai Golok, Thailand.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan