MELAKA, 29 Jan (Bernama) -- Polis Melaka menyelamatkan 27 warganegara Myanmar, termasuk seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan, yang disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia serta penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah dalam serbuan di sebuah premis di Pusat Niaga Nakhoda, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dua individu tempatan, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita berusia 20 dan 24 tahun, yang dipercayai bertindak sebagai pengurus atau penyelia premis berkenaan, turut ditahan dalam serbuan Ops Pintas Khas pada kira-kira pukul 12 tengah hari.
Beliau berkata operasi tersebut dijalankan oleh anggota dan pegawai Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan kerjasama Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hasil maklumat risikan yang diterima.
"Dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 15 lelaki dan 10 wanita warganegara Myanmar berusia antara 23 hingga 47 tahun yang disyaki bekerja tanpa permit atau pas sah, selain seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
"Siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi sebagai restoran di bahagian bawah, manakala tingkat atas dijadikan tempat tinggal pekerja dengan enam bilik disediakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Christopher berkata tindakan menyelamatkan mangsa dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, selepas penilaian dibuat berdasarkan National Guideline on Human Trafficking Indicator (NGHTI 2.0).
Beliau berkata pemeriksaan mendapati pekerja terbabit bekerja tanpa hari cuti dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, manakala laluan keluar masuk premis dikunci selepas waktu operasi dengan kunci hanya dipegang pihak pengurusan, sekali gus mengehadkan kebebasan pergerakan mereka.
Katanya keadaan tersebut memenuhi elemen eksploitasi dan pengurungan yang menjurus kepada kes pemerdagangan manusia, dengan polis turut merampas dua telefon bimbit serta enam jadual kerja sebagai barang kes.
Beliau berkata kesemua 25 mangsa dewasa yang diselamatkan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 44 Akta ATIPSOM 2007 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala dua remaja terbabit diberikan perintah perlindungan interim.
"Polis Melaka akan terus membanteras jenayah pemerdagangan manusia, eksploitasi buruh serta penggajian pekerja asing tanpa dokumen, khususnya melibatkan kanak-kanak dan golongan rentan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pemerdagangan manusia diseru menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.
-- BERNAMA
