AM

PM MAHU TINDAKAN TEGAS DIAMBIL TERHADAP WARGA ASING SALAH GUNA PAS LAWATAN SOSIAL

30/01/2026 06:06 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial atau kelonggaran visa, untuk bekerja di Malaysia.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu ditegaskan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, selepas mendapat laporan dan taklimat terkini mengenai tindakan dan tangkapan melibatkan kesalahan pengunaan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja di negara ini.

"Walaupun kemasukan mereka itu adalah atas sebab sosial sama ada untuk melawat, pergi melancong tapi akhirnya, rupa-rupanya ada elemen-elemen pekerjaan yang telah dikesan," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi berkata pada mesyuarat berkenaan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan sebanyak 54,791 warga asing telah diambil tindakan penguatkuasaan bagi tempoh 2025 hingga pertengahan bulan ini.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 51,100 individu direkodkan sepanjang tahun lepas, manakala 3,691 orang setakat pertengahan bulan ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan